Malaysia legislation
Section 2
of PERATURAN-PERATURAN KUALITI ALAM SEKELILING (UDARA BERSIH) 2014
Seksyen 2
Tafsiran
“amalan kejuruteraan yang menyeluruh” ertinya cara pengoperasian sistem kawalan pencemaran udara di mana ciri-ciri pengoperasian disenggara dalam julat nilai yang diterima sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah;
“bahanapi pepejal” ertinya apa-apa pepejal mudah terbakar seperti arang antrasit atau separa antrasit, kok, arang, kayu, balak, papan, ranting buah-buahan, isirong, tempurung, pangkasan tumbuhan atau apa-apa hasil sampingan pepejal daripada suatu proses pengilangan yang boleh menggantikan mana-mana bahanapi tersebut;
“Carta Ringelmann” ertinya skala Ringelmann untuk menggred ketumpatan asap yang diterbitkan oleh Piawaian British yang terkini dalam siri BS 2742 atau Piawaian
Malaysia yang setara, atau apa-apa carta, alat pencatat, alat penunjuk atau alat untuk mengukur ketumpatan asap yang diluluskan oleh Ketua Pengarah sebagai setara dengan skala Ringelmann tersebut;
P.U. (A) 151 5
“cerobong” termasuklah apa-apa struktur, pembukaan, liang, corong, konduit, aliran keluar atau apa-apa struktur yang dibina atau disusun yang mana daripada atau melaluinya pencemar udara boleh keluar, dan apa-apa sebutan mengenai cerobong yang digunakan oleh keseluruhan atau sebahagian daripada kemudahan itu walaupun terasing secara strukturnya daripada kemudahan atau bangunan tersebut;
“dandang” ertinya apa-apa alat yang di dalamnya bagi apa-apa kegunaan air atau cecair lain dipanaskan dengan apa-apa bahan mudah terbakar;
“dioksin” ertinya dibenzo-para-dioksin terpoliklorin yang merupakan sebatian trisiklik, aromatik yang terbentuk daripada dua gelang benzena yang dihubungkan dengan dua atom oksigen dan atom hidrogen yang boleh diganti dengan sehingga lapan atom klorin;
“furan” ertinya dibenzofuran terpoliklorin yang merupakan sebatian trisiklik, aromatik yang terbentuk daripada dua gelang benzena yang dihubungkan dengan satu atom oksigen, satu ikatan karbon-karbon dan atom hidrogen yang boleh diganti dengan sehingga lapan atom klorin;
“jurutera profesional” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Akta Pendaftaran Jurutera 1967 [Akta 138];
“kawasan kediaman” ertinya kawasan yang ditetapkan sebagai zon kediaman yang mempunyai sempadan yang ditandakan dengan jelas sebagaimana yang dinyatakan dan dipaparkan dalam warta pelan tempatan yang disediakan oleh pihak berkuasa perancangan tempatan yang sewajarnya di bawah Bahagian III Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], dalam hal Sabah Ordinan Perancang
Bandar dan Desa [Sabah Bab 141] dan dalam hal Sarawak Kanun Tanah Sarawak
[Bab 81] atau, jika tiada warta pelan tempatan sedemikian, suatu estet perumahan atau suatu kawasan yang terletak dalam jarak 1000 meter daripada tempat kediaman terdekat;
“keadaan permulaan” ertinya tempoh sebelum proses pengeluaran sebenar;
P.U. (A) 151 6
“lukisan sebagaimana binaan” ertinya apa-apa lukisan kejuruteraan yang menunjukkan kedudukan kemudahan sebagaimana yang diukur setelah sesuatu kerja disiapkan;
“makmal yang bertauliah” ertinya makmal yang menunjukkan kekompetenan untuk melaksanakan ujian, pengukuran atau penentukuran tertentu mengikut
ISO/IEC 17025 atau mana-mana skim lain yang diiktiraf oleh Ketua Pengarah;
“nilai ambang” ertinya kapasiti minimum sesuatu kemudahan atau proses;
“nilai batas” ertinya kuantiti bahan yang dinyatakan dalam terma parameter tertentu, kepekatan atau paras spesifik yang tertentu yang tidak boleh dilebihi sepanjang pengendalian biasa;
“pelan tempatan” dan “pihak berkuasa perancangan tempatan” mempunyai erti yang sama seperti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta Perancangan
Bandar dan Desa 1976, dalam hal Sabah Ordinan Perancang Bandar dan Desa
[Sabah Bab 141] dan dalam hal Sarawak Kanun Tanah Sarawak [Bab 81];
“pemantauan prestasi” ertinya pemantauan rutin ciri-ciri tertentu bagi menunjukkan bahawa sistem kawalan pencemaran udara berfungsi dan berupaya untuk merawat pengeluaran yang dijanakan;
“pembakar” ertinya apa-apa alat, radas, peralatan atau struktur yang digunakan untuk memusnah, mengurang atau menyelamat atau memulih haba sisa melalui perapian atau pembakaran apa-apa benda atau bahan termasuk bahan buangan, sampah sarap, kekotoran, sisa pertanian, sisa dagangan, serpihan atau sekerap atau sesuatu kemudahan untuk membakar bangkai haiwan;
“pencemar udara” ertinya asap, sisa bara, habuk pepejal daripada apa-apa jenis, gas, wasap, kabus, bau-bauan dan bahan radioaktif atau apa-apa bahan lain yang diisytiharkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta sebagai pencemar udara bagi maksud Peraturan-Peraturan ini;
P.U. (A) 151 7
“pengendalian biasa” ertinya keseluruhan tempoh pengendalian kecuali semasa permulaan dan pemberhentian pengendalian dan penyelenggaraan peralatan;
“peralatan pembakaran bahanapi” ertinya apa-apa relau, dandang, pendiang, ketuhar, retort, enjin pembakaran dalaman, bekas, atau apa-apa perkakas, alat, mekanisme, serombong, cerobong atau struktur lain yang digunakan berkaitan dengan pembakaran apa-apa bahan mudah terbakar;
“perubahan dalam pengendalian” ertinya perubahan dalam sifat atau fungsi, atau suatu pelanjutan pemasangan yang mempunyai kesan terhadap alam sekeliling;
“premis baru” ertinya premis yang dibeli atau diperoleh pada atau selepas tarikh
Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa;
“premis sedia ada” ertinya premis yang telah sedia ada atau yang telah beroperasi sebelum tarikh Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa, atau kemudahan yang diberi kebenaran atau yang pada pendapat Ketua Pengarah merupakan subjek suatu permohonan bagi kebenaran, dengan syarat bahawa kemudahan tersebut mula beroperasi tidak lebih daripada satu tahun selepas tarikh
Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa;
“proses” ertinya apa-apa tindakan, pengendalian, penukaran atau perawatan yang meliputi faktor, kaedah atau bentuk kimia, perindustrian, pengilangan atau pemprosesan, termasuklah relau, ketuhar, retort, cerek, penukar, kubah kecil, tanur, mangkuk pijar, tempat penyulingan, alat pengering, pemanggang, turas pengasingan, dandang balik, turus, penjenis, penyaring, pemadan, dapur, alat pencerna, menara, pencuci, penggahar, kilang, pemeluap atau penyerap;
“purata masa” ertinya tempoh masa yang dalamnya kepekatan pencemaran udara dipukul rata bagi maksud menentukan pencapaian standard pengeluaran dengan menggunakan Sistem Pemantauan Pengeluaran Secara Berterusan (CEMS). Tempoh sub-purata untuk menentukan purata setengah jam adalah purata 1 minit. Purata setengah jam yang sah hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya 22 data
P.U. (A) 151 8
sub-purata dalam tempoh setengah jam (75%). Purata 1 minit yang sah hendaklah mengandungi bacaan data yang sah yang merupakan mana-mana 45 saat bagi tempoh 1 minit sebelumnya;
“relau” ertinya apa-apa kebuk, selain daripada dandang, yang di dalamnya pembakaran berlaku;
“Sebatian Organik Meruap Bukan Metana” atau “NMVOC” ertinya sesuatu sebatian yang terdiri daripada semua sebatian organik kecuali metana yang pada 273 K menunjukkan tekanan wap pada sekurang-kurangnya 101.3 kPa atau yang menunjukkan kemeruapan yang setanding di bawah keadaan pemakaian yang sama;
“sistem kawalan pencemaran udara” ertinya apa-apa kemudahan yang direka bentuk dan dibina untuk tujuan menghalang atau mengurangkan potensi pengeluaran yang menyebabkan pencemaran udara, dan termasuklah sistem penyedutan, peralatan kawalan dan cerobong;
“Teknik Terbaik Yang Ada Yang Boleh Dicapai Dengan Hemat” ertinya kaedah yang berkesan dalam mencegah pencemaran dan, di mana kaedah itu tidak boleh dipraktikkan, secara umumnya mengurangkan pengeluaran ke udara daripada aktiviti perindustrian dan kesannya terhadap alam sekeliling secara keseluruhannya.