Malaysia legislation
Section 4
of PERINTAH CUKAI PENDAPATAN (INSENTIF TEKNOLOGI HIJAU) (PERKHIDMATAN) (PENGECUALIAN) 2024
Seksyen 4
(1)
Menteri mengecualikan suatu syarikat yang layak dalam tempoh asas bagi suatu tahun taksiran daripada pembayaran cukai pendapatan berkenaan dengan tujuh puluh peratus daripada pendapatan berkanunnya yang diperoleh daripada suatu aktiviti yang layak dalam tempoh asas bagi tahun taksiran itu.
P.U. (A) 246 4
(2)
Pengecualian yang disebut dalam subperenggan (1) adalah bagi suatu tempoh pengecualian selama tiga tahun taksiran berturut-turut bermula dari tahun taksiran yang tarikh invois pertama berhubung dengan aktiviti yang layak itu dikeluarkan oleh syarikat yang layak itu sebagaimana yang ditentusahkan oleh Malaysian
Green Technology and Climate Change Corporation dan tarikh itu tidak boleh lebih awal dari tarikh permohonan di bawah subsubperenggan 3(b) diterima oleh
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
(3)
Syarikat yang layak hendaklah memohon penentuan suatu tarikh permulaan tempoh pengecualian daripada Malaysian Green Technology and
Climate Change Corporation dalam tempoh dua belas bulan dari tarikh surat kelulusan yang disebut dalam subsubperenggan 3(c) itu diberikan.
(4)
Pengecualian yang diberikan di bawah subperenggan (1) adalah tertakluk kepada syarikat yang layak itu mematuhi semua syarat yang dikenakan oleh Menteri berhubung dengan pengecualian itu sebagaimana yang dinyatakan dalam surat kelulusan, yang hendaklah termasuk syarat seperti yang berikut:
(a)
mempunyai sekurang-kurangnya lima orang pekerja tetap sepenuh masa di Malaysia yang hendaklah termasuk dua orang pekerja kompeten dalam teknologi hijau bagi menjalankan aktiviti yang layak;
(b)
melakukan amaun perbelanjaan operasi tahunan yang mencukupi yang diluluskan di Malaysia untuk menjalankan aktiviti yang layak bagi maksud perniagaannya dan perbelanjaan operasi tahunan itu hendaklah termasuk perkhidmatan tempatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan tempatan; dan
(c)
menjalankan sekurang-kurangnya tiga aktiviti yang layak daripada sektor berkaitan sebagaimana yang dinyatakan dalam ruang (3) Jadual.
P.U. (A) 246 5
(5)
Jika suatu syarikat yang layak telah diberikan pengecualian di bawah subperenggan (1), mana-mana syarikat berkaitan kepada syarikat yang layak itu tidak layak untuk diberikan suatu pengecualian di bawah Perintah ini.
(6)
Tiada apa-apa jua dalam subperenggan (1) boleh melepaskan atau disifatkan telah melepaskan syarikat yang layak itu daripada mematuhi apa-apa kehendak untuk mengemukakan apa-apa penyata atau penyata akaun atau memberikan apa-apa maklumat lain di bawah Akta.
(7)
Bagi maksud perenggan ini—
“pekerja kompeten” ertinya orang yang—
(a)
berdaftar dengan suatu badan profesional atau agensi kelayakan yang berkaitan;
(b)
diperakukan mata
Pembangunan
Profesional
Berterusan oleh badan profesional atau agensi kelayakan yang berkaitan; atau
(c)
beramal secara aktif dalam bidang yang berkaitan;
“penyedia perkhidmatan tempatan” ertinya orang yang bermastautin di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan termasuk perkhidmatan berhubung dengan insurans, perundangan, perbankan, teknologi maklumat dan komunikasi, dan pengangkutan.
Pendapatan harta intelek tidak diambil kira