Malaysia legislation
Section 9
of PERATURAN-PERATURAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN (PENDEDAHAN BISING) 2019
Seksyen 9
(1)
Jika laporan penaksiran risiko bising yang disebut dalam subperaturan 4(4)
menunjukkan bahawa mana-mana pekerja terdedah kepada bising berlebihan melebihi had yang dinyatakan dalam perenggan 6(1)(a), (b) atau (c), majikan hendaklah menyebabkan ujian audiometrik dijalankan ke atas pekerja itu setiap tahun.
(2)
Bagi maksud menjalankan ujian audiometrik di bawah subperaturan (1), majikan hendaklah melantik pusat ujian audiometrik yang diluluskan oleh
Ketua Pengarah.
(3)
Pusat ujian audiometrik itu hendaklah melantik doktor kesihatan pekerjaan untuk mentafsirkan audiogram pekerja berdasarkan ujian audiometrik yang telah dijalankan ke atas pekerja itu.
(4)
Jika doktor kesihatan pekerjaan itu menentukan mana-mana pekerja mempunyai audiogram yang abnormal, doktor kesihatan pekerjaan itu hendaklah menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas pekerja itu.
(5)
Pemeriksaan perubatan yang disebut dalam subperaturan (4) hendaklah termasuk mendapatkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan siasatan berkaitan yang lain untuk mendiagnosis atau mengetepikan apa-apa gangguan pendengaran pekerjaan atau bukan pekerjaan.
P.U. (A) 60 11
(6)
Jika doktor kesihatan pekerjaan telah memeriksa pekerja itu di bawah subperaturan (4) dan berpendapat bahawa pekerja itu mempunyai kehilangan pendengaran disebabkan bising pekerjaan, kecacatan pendengaran pekerjaan atau anjakan ambang standard kekal pekerjaan, doktor kesihatan pekerjaan itu hendaklah memberitahu Ketua Pengarah dalam masa tujuh hari selepas pemeriksaan perubatan itu.
(7)
Pusat ujian audiometrik itu hendaklah mengemukakan laporan ujian audiometrik kepada majikan itu dalam masa tiga puluh hari dari tarikh ujian audiometrik dijalankan.
(8)
Apabila laporan di bawah subperaturan (7) diterima, majikan itu hendaklah memberitahu keputusan ujian audiometrik itu kepada pekerja dalam masa dua puluh satu hari selepas menerima laporan itu.
(9)
Jika laporan ujian audiometrik itu menunjukkan bahawa mana-mana pekerja mempunyai anjakan ambang standard sementara, majikan itu hendaklah—
(a)
menyebabkan ujian semula dijalankan oleh pusat ujian audiometrik ke atas pekerja itu dalam masa tiga bulan selepas ujian audiometrik terdahulu dijalankan; dan
(b)
mengambil apa-apa langkah untuk melindungi pendengaran pekerja itu daripada menjadi lebih teruk.
(10)
Jika laporan ujian audiometrik itu menunjukkan bahawa mana-mana pekerja mempunyai kehilangan pendengaran disebabkan bising pekerjaan, kecacatan pendengaran pekerjaan atau anjakan ambang standard kekal pekerjaan, majikan itu hendaklah—
(a)
memberitahu Pengarah pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan
Pekerjaan yang terhampir dalam masa tujuh hari selepas menerima laporan di bawah subperaturan (7);
P.U. (A) 60 12
(b)
memberikan pelindung pendengaran diri kepada pekerja itu jika tiada pelindung pendengaran diri diberikan kepada pekerja itu sebelum ini;
dan
(c)
melatih pekerja itu tentang penggunaan pelindung pendengaran diri.
(11)
Mana-mana orang yang melanggar subperaturan (1), (2), (3), (4), (6), (7),
(8)
, (9) atau (10) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
(12)
Bagi maksud peraturan ini, “doktor kesihatan pekerjaan” ertinya pengamal perubatan yang berdaftar dengan Ketua Pengarah untuk mengendalikan program pengawasan perubatan pekerja.
Kewajipan majikan apabila ujian audiometrik dijalankan