Malaysia legislation
Section 12
Seksyen 12
Penggantungan dan pemberhentian elaun layanan sentiasa
(1)
Pertubuhan boleh menggantung bayaran elaun layanan sentiasa kepada seseorang suri rumah berinsurans bagi suatu tempoh yang tidak melebihi dua belas bulan jika Pertubuhan mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa—
(a)
tuntutan bagi faedah itu telah dibuat oleh suri rumah berinsurans, orang tanggungannya atau mana-mana orang lain tanpa mendedahkan atau dengan salah nyata, suatu fakta material sama ada secara fraud atau selainnya; atau
(b)
pembayaran faedah itu dibuat disebabkan oleh ketidakdedahan atau salah nyataan suatu fakta material oleh suri rumah berinsurans itu atau mana-mana orang sama ada secara fraud atau selainnya.
(2)
Jika Pertubuhan memutuskan untuk menggantung elaun layanan sentiasa yang diterima oleh suri rumah berinsurans di bawah subperaturan (1), Pertubuhan hendaklah menjalankan suatu penyiasatan mengenai penggantungan itu.
P.U. (A) 200 11
(3)
Apabila selesai penyiasatan, jika Ketua Pengarah berpuas hati bahawa—
(a)
suri rumah berinsurans itu, orang tanggungannya atau mana-mana orang lain tidak melakukan perbuatan di bawah subperaturan (1), bayaran elaun layanan sentiasa yang digantung hendaklah dengan serta-merta diteruskan; atau
(b)
suri rumah berinsurans itu, orang tanggungannya atau mana-mana orang lain telah melakukan perbuatan di bawah subperaturan (1), bayaran elaun layanan sentiasa hendaklah diberhentikan.
(4)
Pertubuhan boleh menggantung bayaran elaun layanan sentiasa kepada suri rumah berinsurans selagi suri rumah berinsurans itu gagal tanpa sebab yang munasabah untuk hadir, apabila diarahkan oleh
Pertubuhan, di hadapan penilai perubatan, atau Jemaah Doktor Rayuan sekiranya terdapat suatu rayuan, bagi perakuan darjah kehilangan upaya yang melayakkan suri rumah berinsurans itu bagi elaun layanan sentiasa.
(5)
Apabila diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan di bawah subperaturan (4), Pertubuhan boleh meneruskan atau memberhentikan bayaran elaun layanan sentiasa itu.