Skip to content

Seksyen 4

Syarat-syarat bagi pergerakan

of Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 2) 2020

P.U. (A)In forceProvision 4 of 11
Seksyen 4
(1)

Jika seseorang bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain—

(a)

untuk membeli makanan, keperluan harian, ubat atau penokok diet, pergerakannya hendaklah hanya, ke suatu tempat di dalam radius yang tidak melebihi sepuluh kilometer dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan dia tidak boleh disertai mana-mana orang lain, melainkan jika adalah semunasabahnya perlu baginya untuk disertai mana-mana orang lain;

(b)

untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan, pergerakannya hendaklah hanya, ke suatu tempat di dalam radius yang tidak melebihi sepuluh kilometer dari kediamannya, atau ke suatu tempat yang paling hampir dengan kediamannya, dan dia boleh disertai mana-mana orang lain yang semunasabahnya perlu;

(c)

untuk melaksanakan apa-apa tugas rasmi, dia hendaklah mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki oleh seseorang pegawai diberi kuasa;

(d)

untuk melaksanakan tugasnya berhubung dengan apa-apa perkhidmatan perlu, dia hendaklah mengemukakan surat kebenaran daripada majikannya jika dikehendaki oleh seseorang pegawai diberi kuasa.

(2)

Bagi maksud mengawal pergerakan orang yang membeli makanan, pemunya atau pengendali, atau orang yang bertanggungjawab bagi, suatu perniagaan menjual makanan hendaklah menjalankan perniagaan hanya secara pandu lalu, bawa pulang atau penghantaran tertakluk kepada apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah.