Skip to content

Seksyen 7

of Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957

ActIn forceProvision 7 of 9

Seksyen 7

(1)

Semua harta tak alih yang, sebelum sahaja Akta ini mula berkuatkuasa, telah terletakhak pada Ketua Setiausaha bagi maksud-maksud Kerajaan Persekutuan atau bagi maksud-maksud Kerajaan manamana Negeri atau Negeri Selat atau bagi maksud-maksud Keretapi Tanah Melayu termasuk harta yang terletakhak pada Ketua Setiausaha, Persekutuan Tanah Melayu, di bawah peruntukan-peruntukan seksyen 7 Ordinan Ketua Setiausaha (Pemerbadanan), 1949, hendaklah, apabila Akta ini mula berkuatkuasa dan tanpa apa-apa pemindahan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, terletakhak pada Perbadanan bagi hakmilik, estet atau kepentingan yang serupa dan dengan pemegangan yang serupa serta bagi maksud-maksud yang serupa sepertimana hakmilik, estet atau kepentingan itu telah diletakhak atau dipegang sebelum sahaja Akta ini mula berkuatkuasa.

[Subseksyen (1) tidak terpakai bagi Sabah dan Sarawak—Lihat P.U. 495/67.]

(2)

Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui Perintah, meletakhak pada Perbadanan apa-apa harta, alih atau tak alih, yang pada masa itu terletakhak pada manamana pegawai atau pihak berkuasa awam dan, apabila mana-mana perintah sedemikian mula berkuatkuasa, harta yang berhubungan dengan Perintah itu hendaklah, tanpa apa-apa pemindahan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, terletakhak pada Perbadanan bagi hakmilik, estet atau kepentingan yang serupa dan dengan pemegangan yang serupa serta bagi maksud-maksud yang serupa sepertimana hakmilik, estet atau kepentingan itu telah diletakhak atau dipegang sebelum sahaja Perintah itu mula berkuatkuasa.

(3)

Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui Perintah, meletakhak pada mana-mana pegawai atau pihak berkuasa awam apa-apa harta, alih atau tak alih, yang pada masa itu terletakhak pada Perbadanan dan, apabila mana-mana Perintah sedemikian mula berkuatkuasa, harta yang berhubungan dengan Perintah itu hendaklah, tanpa apa-apa pemindahan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, terletakhak pada pegawai atau pihak berkuasa itu bagi hakmilik, estet atau kepentingan yang serupa dan dengan pemegangan yang serupa serta bagi maksud-maksud yang serupa sepertimana hakmilik, estet atau kepentingan itu telah diletakhak atau dipegang sebelum sahaja Perintah itu mula berkuatkuasa.