Seksyen 4
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 4
Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menetapkan suatu tarikh peletakhakan dan pada tarikh itu, segala harta, hak dan liabiliti Bank Simpanan Nasional hendaklah menurut kuasa Akta ini dipindahmilikkan kepada dan terletakhak pada Bank tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahmilikan.
(2)
Tiap-tiap harta yang terletakhak pada Bank menurut kuasa subseksyen (1) hendaklah terletakhak sedemikian pada Bank dengan hakmilik, estet atau kepentingan dan pemegangan yang serupa sebagaimana harta itu terletakhak atau dipegang sebelum sahaja tarikh peletakhakan itu.
(3)
Tiap-tiap hak dalam tindakan yang terletakhak pada Bank menurut kuasa subseksyen (1) boleh, selepas tarikh peletakhakan, dituntut melalui guaman, didapatkan atau dikuatkuasakan oleh Bank atas namanya sendiri dan tidaklah perlu bagi Bank atau Bank Simpanan Nasional memberikan notis kepada orang yang terikat dengan hak dalam tindakan itu tentang peletakhakan yang dilaksanakan melalui subseksyen (1).
(4)
Tiap-tiap hak dan liabiliti yang terletakhak pada Bank menurut kuasa subseksyen (1) boleh, pada dan selepas tarikh peletakhakan, dituntut melalui guaman, didapatkan atau dikuatkuasakan oleh atau terhadap Bank atas namanya sendiri dan tidaklah perlu bagi Bank atau Bank Simpanan Nasional memberikan notis kepada orang yang hak atau liabilitinya tersentuh oleh peletakhakan di bawah subseksyen (1).
(5)
Apa-apa prosiding undang-undang yang belum selesai oleh atau terhadap Bank Simpanan Nasional yang berhubungan dengan apa-apa harta, hak atau liabiliti yang dipindahkan kepada dan terletakhak pada Bank menurut kuasa subseksyen (1) boleh, pada dan selepas tarikh peletakhakan, diteruskan oleh atau terhadap Bank.
(6)
Dalam hal hak dan liabiliti yang berbangkit di bawah apa-apa pinjaman yang terletakhak pada Bank pada tarikh peletakhakan, Bank boleh membuat apa-apa perkiraan atau perjanjian terhadap hak dan liabiliti itu dengan Kerajaan atau mana-mana pihak ketiga.
(7)
Jika menurut kuasa subseksyen (1), mana-mana harta dipindahmilikkan kepada dan terletakhak pada Bank, peruntukan-peruntukan dalam Bahagian Tiga Puluh Kanun Tanah Negara hendaklah, bagi maksud membuat pendaftaran peletakhakan itu, memohon kepada Bank seolah-olah ia adalah suatu pihak berkuasa awam.
(8)
Pada dan selepas tarikh peletakhakan, apa-apa perjanjian yang berhubungan dengan mana-mana harta, hak dan liabiliti yang dipindahkan kepada dan terletakhak pada Bank di bawah subseksyen (1) yang kepadanya Bank Simpanan Nasional adalah suatu pihak sebelum sahaja tarikh peletakhakan itu, sama ada secara bertulis atau tidak, dan sama ada atau tidak sedemikian sifatnya sehingga hak dan liabiliti di bawahnya boleh diserahhakkan oleh Bank Simpanan Nasional, hendaklah mempunyai kesan seolah-olah Bank telah menjadi suatu pihak kepada perjanjian itu.