Skip to content

Seksyen 22

of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)

ActPendingProvision 22 of 94

Seksyen 22

(1)

Tanpa menjejaskan seksyen 24, dan tertakluk kepada seksyen 23, tiada seorang pun boleh membuat apa-apa perjanjian atau perkiraan untuk memperolehi atau melupuskan apa-apa kepentingan dalam syer Bank yang menurutnya, jika perjanjian atau perkiraan itu dilaksanakan, dia akan—

(a)

memperolehi, berserta dengan apa-apa kepentingan dalam syer Bank yang telah pun ketika itu dipegang olehnya, atau olehnya dan oleh orang-orang yang bertindak bersama-sama dengannya; atau

(b)

melupuskan, berserta dengan kepentingan-kepentingan dalam syer yang dahulunya dilupuskan olehnya kepada mana-mana orang seorang atau mana-mana orang yang bertindak bersama-sama, kepada orang seorang itu atau orang-orang itu yang bertindak bersama-sama, suatu kepentingan dalam syer yang agregatnya tidak kurang daripada lima peratus daripada syer-syer Bank tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Menteri untuk membuat perjanjian atau perkiraan:

Dengan syarat bahawa tiada kelulusan sedemikian boleh diberikan berkenaan dengan apa-apa pemerolehan atau pelupusan yang akan mengakibatkan pelanggaran terhadap seksyen 24.

(2)

Suatu permohonan untuk kelulusan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat oleh orang yang bercadang hendak memperolehi atau melupuskan apa-apa kepentingan dalam syer yang disebut dalamnya dan hendaklah dikemukakan kepada Menteri.

(3)

Tiada seorang pun yang telah mendapat kelulusan Menteri di bawah subseksyen (1) bagi membuat perjanjian atau perkiraan—

(a)

bagi pemerolehan apa-apa kepentingan dalam syer Bank, boleh membuat apa-apa perjanjian atau perkiraan kemudiannya untuk memperolehi apa-apa kepentingan dalam syer Bank; atau

(b)

bagi pelupusan apa-apa kepentingan dalam syer Bank kepada orang seorang atau kepada orang-orang yang bertindak bersama-sama, hendaklah membuat apa-apa perjanjian atau perkiraan kemudiannya dengan orang seorang itu atau dengan seorang atau lebih daripada orang-orang itu yang bertindak bersama-sama, untuk melupuskan kepadanya atau kepada mereka, apa-apa kepentingan dalam syer Bank, tidak kira peratus syer Bank yang diwakili oleh kepentingan dalam syer itu, tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Menteri untuk membuat perjanjian atau perkiraan terkemudian itu, dan peruntukan subseksyen (2) hendaklah terpakai bagi permohonan untuk kelulusan di bawah subseksyen ini.

(4)

Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) atau (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.