Skip to content

Seksyen 59

of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)

ActPendingProvision 59 of 94

Seksyen 59

(1)

Jika didapati oleh Majistret, daripada maklumat bertulis yang dibuat atas sumpah dan selepas apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, bahawa terdapat sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa—

(a)

mana-mana premis telah digunakan atau sedang hendak digunakan bagi; atau

(b)

terdapat di dalam mana-mana premis keterangan yang diperlukan bagi membuktikan, pelakuan suatu kesalahan di bawah Akta ini, maka Majistret boleh mengeluarkan waran yang memberikuasa pegawai penyiasat untuk, pada bila-bila masa yang munasabah sama ada siang atau malam dan sama ada dengan bantuan atau tanpa bantuan—

(aa) memasuki mana-mana premis dan di situ menggeledah, menyita dan menahan apa-apa harta, buku atau dokumen lain;

(bb) memeriksa, membuat salinan, atau mengambil cabutan daripada, apa-apa buku atau dokumen lain yang disita dan ditahan sedemikian;

(cc)

mengambil milik, dan memindahkan dari premis, apa-apa harta, buku atau dokumen lain yang disita dan ditahan sedemikian;

(dd)

memeriksa mana-mana orang yang berada di dalam, atau di, premis itu, dan bagi maksud pemeriksaan itu menahan orang itu dan memindahkannya ke mana-mana tempat yang perlu untuk mempermudahkan pemeriksaan itu, dan menyita dan menahan apa-apa harta, buku atau dokumen lain yang dijumpai pada orang itu;

(ee) memecah buka, memeriksa, dan menggeledah, apaapa artikel, bejana atau bekas; atau

(ff) memberhentikan,menahan atau menggeledah manama kenderaan.

(2)

Seseorang pegawai penyiasat boleh jika perlu untuk berbuat demikian—

(a)

memecahkan mana-mana pintu luar atau pintu dalam premis itu dan masuk ke dalamnya;

(b)

dengan kekerasan masuk ke dalam premis itu dan tiap-tiap bahagiannya;

(c)

mengalihkan dengan menggunakan kekerasan apa-apa halangan kepada kemasukan, penggeledahan, penyitaan, penahanan atau pengalihan yang dia mempunyai kuasa untuk melakukannya; atau

(d)

menahan semua atau mana-mana orang yang didapatinya dalam mana-mana premis, atau di dalam mana-mana kenderaan, yang digeledah di bawah subseksyen (1) sehingga premis atau kenderaan itu telah digeledah.

(3)

Walau apa pun subseksyen (1), jika seseorang pegawai penyiasat mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa disebabkan kelengahan mendapatkan waran geledah maka—

(a)

penyiasatan itu akan terjejas;

(b)

tujuan kemasukan itu mungkin terkecewa;

(c)

buku, buku minit, daftar, dokumen, bahan, atau apa-apa benda lain yang dicari mungkin dialihkan atau diganggu; atau

(d)

keterangan yang dicari mungkin diganggu atau dimusnahkan, dia boleh menjalankan, dalam dan berkenaan dengan premis itu, segala kuasa yang disebut dalam subseksyen (1) secara yang sepenuhnya dan secukupnya seolah-olah dia telah diberikuasa berbuat demikian melalui waran yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1).

(4)

Suatu senarai segala barang yang disita dalam menjalankan penggeledahan di bawah seksyen ini dan premis di mana barang tersebut masing-masingnya dijumpai hendaklah disediakan oleh pegawai penyiasat yang menjalankan penggeledahan itu dan ditandatangani olehnya.

(5)

Penghuni premis yang dimasuki di bawah subseksyen (1), atau seseorang bagi pihaknya, hendaklah pada tiap-tiap ketika dibenarkan hadir semasa penggeledahan itu, dan suatu salinan senarai yang disediakan dan ditandatangani di bawah seksyen ini hendaklah diserahkan kepada penghuni atau orang itu atas permintaannya.

(6)

Seseorang pegawai penyiasat hendaklah, melainkan jika diperintahkan selainnya oleh mana-mana mahkamah—

(a)

pada penutupan penyiasatan atau apa-apa prosiding yang berbangkit daripadanya; atau

(b)

dengan terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada mana-mana pegawai Bank yang diberikuasa oleh Meniteri untuk bertindak bagi pihaknya bagi maksud ini, atau mana-mana pegawai penyiasat yang berpangkat lebih tinggi daripadanya, pada bila-bila masa sebelum penutupan penyiasatan, melepaskan mana-mana harta, buku atau dokumen lain yang disita, ditahan atau dialih olehnya atau mana-mana pegawai penyiasat lain, kepada mana-mana orang yang ditentukan olehnya sebagai berhak di sisi undang-undang terhadap harta, buku atau dokumen lain itu jika dia berpuas hati bahawa ia tidak diperlukan bagi maksud apa-apa pendakwaan atau prosiding di bawah Akta ini, atau bagi maksud apa-apa pendakwaan di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain.

(7)

Suatu rekod secara bertulis hendaklah dibuat oleh pegawai yang menyebabkan apa-apa pelepasan mana-mana harta, buku atau dokumen lain di bawah subseksyen (6) berkenaan dengan pelepasan sedemikian dengan menyatakan dalamnya secara terperinci hal keadaan, dan sebab bagi, pelepasan sedemikian.

(8)

Jika pegawai penyiasat tidak dapat menentukan orang yang berhak di sisi undang-undang terhadap harta, buku atau dokumen lain itu atau jika terdapat lebih daripada satu pihak menuntut terhadap harta, buku atau dokumen lain itu, pegawai penyiasat hendaklah melaporkan perkara itu kepada Majistret yang hendaklah kemudiannya memperlakukan harta, buku atau dokumen lain itu sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen 413(2), (3) dan (4), dan seksyen 414, 415 dan 416 Kanun Prosedur Jenayah.