Skip to content

Seksyen 70

of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)

ActPendingProvision 70 of 94

Seksyen 70

(1)

Peruntukan-peruntukan seksyen 68 tidaklah terpakai bagi pendedahan apa-apa maklumat atau dokumen—

(a)

yang pelanggan, atau wakil dirinya, telah memberi kebenaran secara bertulis untuk didedahkan;

(b)

dalam hal di mana pelanggan diisytiharkan bankrap, atau, jika pelanggan itu suatu perbadanan, perbadanan itu sedang atau telah digulung, di Malaysia atau di mana-mana negara, wilayah atau tempat di luar Malaysia;

(c)

jika maklumat itu dikehendaki oleh pihak dalam suatu transaksi komersil secara bona fide, atau dalam suatu transaksi komersil prospektif secara bona fide, yang pelanggan itu juga menjadi satu pihak, untuk mentaksirkan kelayakan kredit pelanggan yang berhubungan dengan transaksi tersebut, dengan syarat bahawa maklumat yang dikehendaki itu adalah bersifat am dan tidak membolehkan butir-butir terperinci mengenai akaun atau hal-ehwal pelanggan itu dipastikan;

(d)

bagi maksud mana-mana prosiding jenayah atau berkenaan dengan apa-apa prosiding civil—

(i)

antara Bank dengan pelanggannya atau penjamin pelanggan yang berhubungan dengan transaksi pelanggan dengan Bank; atau

(ii)

antara Bank dengan dua pihak atau lebih yang membuat tuntutan bertentangan mengenai wang dalam akaun pelanggan di mana Bank bertujuan mendapatkan relief dengan cara interplider;

(e)

jika Bank telah disampaikan dengan suatu perintah garnisan yang menahan wang dalam akaun pelanggan;

(f)

kepada ejen yang dilantik oleh Bank dengan terlebih dahulu mendapat keizinan bertulis daripada Menteri;

(g)

jika pendedahan sedemikian dikehendaki atau dibenarkan di bawah mana-mana peruntukan lain Akta ini;

(h)

jika pendedahan sedemikian dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang Persekutuan untuk dibuat kepada seorang pegawai polis yang menyiasat apa-apa kesalahan di bawah undang-undang itu dan pendedahan sedemikian kepada pegawai polis itu adalah, bagaimanapun, terhad kepada akaun dan hal-ehwal orang yang disyaki melakukan kesalahan itu; atau

(i)

jika pendedahan sedemikian dibenarkan secara bertulis oleh Menteri.

(2)

Dalam apa-apa prosiding civil di bawah perenggan (1)(b) atau (1)(d) di mana apa-apa maklumat atau dokumen mungkin didedahkan berhubungan dengan akaun seseorang pelanggan, prosiding itu bolehlah, jika mahkamah, atas usulnya sendiri, atau atas permohonan suatu pihak dalam prosiding itu, memerintahkan sedemikian, diadakan secara tertutup dan, dalam hal yang sedemikian, maklumat atau dokumen itu hendaklah menjadi rahsia di antara mahkamah dengan pihakpihak dalam prosiding itu, dan tiada pihak itu boleh mendedahkan maklumat atau dokumen itu kepada manamana orang lain.

(3)

Melainkan jika diperintahkan selainnya oleh mahkamah, tiada seorang pun boleh menyiarkan nama, alamat atau fotograf mana-mana pihak dalam prosiding sivil itu seperti yang disebut dalam subseksyen (2), atau apa-apa maklumat yang mungkin membawa kepada pengenalpastian pihak-pihak dalam prosiding itu, sama ada semasa berlangsungnya prosiding itu atau pada bila-bila masa selepas prosiding itu telah tamat.

(4)

Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (2) atau (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.