Skip to content

Seksyen 9

Pengaruh tidak wajar

of Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

ActIn forceProvision 9 of 43
Seksyen 9
(1)

Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan, atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu untuk mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures, atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindarkan atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada untuk memberikan atau tidak memberikan undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas bersalah atas kesalahan pengaruh tidak wajar.

(2)

Seseorang hendaklah disifatkan telah mengganggu seseorang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas mengikut pengertian seksyen ini jika dia mendorong atau cuba mendorong orang itu supaya mempercayai bahawa dia, atau mana-mana orang yang mengenainya dia mempunyai kepentingan, akan menjadi atau akan dijadikan seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya.

Undang-Undang Malaysia 18

Akta 5