Jadual
[Seksyen 3]
PERUNTUKAN PERJANJIAN YANG MEMPUNYAI KUAT KUASA
UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
Bab IX
STATUS, KEKEBALAN, KEISTIMEWAAN DAN PENGECUALIAN
Perkara 44 Maksud Bab
1. Bagi membolehkan Bank memenuhi maksudnya dan menunaikan fungsi yang diamanahkan kepadanya, status, kekebalan, keistimewaan dan pengecualian yang dinyatakan dalam Bab ini hendaklah diberikan kepada Bank dalam wilayah setiap anggota.
2. Setiap anggota hendaklah dengan segera mengambil apa-apa tindakan yang perlu untuk menguatkuasakan dalam wilayah masing-masing peruntukan yang dinyatakan dalam Bab ini dan hendaklah memberitahu Bank tentang tindakan yang telah diambil.
Perkara 45 Status Bank
Bank hendaklah mempunyai keperibadian juridikal penuh dan, secara khususnya, keupayaan undang-undang:
(i) untuk membuat kontrak;
(ii) untuk memperoleh, dan melupuskan, harta tak alih dan harta alih;
(iii) untuk memulakan dan bertindak balas terhadap prosiding undang-undang;
dan
(iv) untuk mengambil apa-apa tindakan lain sebagaimana yang perlu atau berguna bagi maksud dan aktivitinya.
Perkara 46 Kekebalan daripada Prosiding Kehakiman
1. Bank hendaklah menikmati kekebalan daripada tiap-tiap bentuk proses undang-undang, kecuali dalam hal keadaan yang berbangkit daripada atau yang berkaitan dengan pelaksanaan kuasanya untuk mengumpul dana, melalui pinjaman atau cara lain, untuk menjamin obligasi, atau untuk membeli dan menjual atau menaja jamin penjualan sekuriti, yang dalam hal keadaan itu tindakan boleh dibawa terhadap Bank hanya di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten dalam wilayah sesebuah negara yang Bank mempunyai pejabat, atau telah melantik seorang ejen bagi maksud menerima penyampaian atau notis proses, atau telah mengeluarkan atau menjamin sekuriti.
Undang-Undang Malaysia 10
Akta 786
2. Walau apa pun peruntukan perenggan 1 Perkara ini, tiada tindakan boleh diambil terhadap Bank oleh mana-mana anggota, atau mana-mana orang yang membantu atau menjadi perantara mana-mana anggota, atau oleh mana-mana entiti atau orang yang secara langsung atau tidak langsung bertindak bagi atau mendapat tuntutan daripada anggota atau mana-mana orang yang membantu atau menjadi perantara mana-mana anggota. Anggota boleh menggunakan tatacara khas bagi penyelesaian kontroversi antara Bank dengan anggotanya sebagaimana yang ditetapkan dalam Perjanjian ini, dalam undang-undang kecil dan peraturan-peraturan Bank, atau dalam kontrak yang dibuat dengan
Bank.
3. Harta dan aset Bank hendaklah, walau di mana pun terletak dan dipegang oleh sesiapa pun, kebal daripada semua bentuk penyitaan, penahanan atau pelaksanaan sebelum penyampaian penghakiman muktamad terhadap Bank.
Perkara 47 Kekebalan Aset dan Arkib
1. Harta dan aset Bank, walau di mana pun terletak dan dipegang oleh sesiapa pun, hendaklah kebal daripada penggeledahan, rekuisisi, perampasan, ekspropriasi atau apa-apa bentuk pengambilan atau halang tebus lain melalui tindakan eksekutif atau perundangan.
2. Arkib Bank, dan secara umum, semua dokumen yang dimiliki olehnya, atau yang dipegang olehnya, tidak boleh dicabul, walau di mana pun terletak dan dipegang oleh sesiapa pun.
Perkara 48 Kebebasan Aset daripada Sekatan
Setakat yang perlu untuk melaksanakan maksud dan fungsi Bank dengan berkesan, dan tertakluk kepada peruntukan Perjanjian ini, semua harta dan aset Bank hendaklah bebas daripada sekatan, peraturan-peraturan, kawalan dan penangguhan dalam apa-apa jua bentuk.
Perkara 49 Keistimewaan untuk Komunikasi
Komunikasi rasmi Bank hendaklah diberikan layanan yang sama oleh setiap anggota sebagaimana layanan yang diberikan olehnya kepada komunikasi rasmi mana-mana anggota lain.
Perkara 50 Kekebalan dan Keistimewaan Pegawai dan Pekerja
Semua Gabenor, Pengarah, Pengganti, Presiden, Naib Presiden dan pegawai dan pekerja lain Bank, termasuk pakar dan perunding yang menjalankan misi atau perkhidmatan untuk Bank:
(i) hendaklah kebal daripada proses undang-undang berkenaan dengan perbuatan yang dilaksanakan oleh mereka atas sifat rasmi, kecuali apabila Bank mengetepikan kekebalan dan hendaklah menikmati ketidakbolehcabulan bagi semua kertas, dokumen dan rekod rasmi mereka;
Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 11
(ii) jika mereka bukan rakyat atau warganegara tempatan, hendaklah diberikan kekebalan yang sama daripada sekatan imigresen, keperluan pendaftaran orang asing dan obligasi khidmat negara, dan kemudahan yang sama berkenaan dengan peraturan pertukaran, sebagaimana yang diberikan oleh anggota kepada wakil, pegawai dan pekerja yang berpangkat setanding bagi anggota lain; dan
(iii) hendaklah diberikan layanan yang sama berkenaan dengan kemudahan perjalanan sebagaimana yang diberikan oleh anggota kepada wakil, pegawai dan pekerja yang berpangkat setanding bagi anggota lain.
Perkara 51 Pengecualian Cukai
1. Bank, asetnya, hartanya, pendapatannya dan operasi dan urus niaganya menurut Perjanjian ini, hendaklah dikecualikan daripada semua cukai dan duti kastam. Bank juga hendaklah dikecualikan daripada apa-apa obligasi untuk pembayaran, pegangan atau pemungutan apa-apa cukai atau duti.
2. Tiada apa jua jenis cukai boleh dikenakan ke atas atau berkenaan dengan gaji, emolumen dan perbelanjaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dibayar oleh Bank kepada Pengarah, Pengarah Ganti, Presiden, Naib Presiden dan pegawai atau pekerja lain Bank, termasuk pakar dan perunding yang menjalankan misi atau perkhidmatan untuk Bank, kecuali jika anggota mendeposit dengan surat cara ratifikasinya, penerimaan, atau kelulusan suatu deklarasi bahawa anggota itu mengekalkan bagi dirinya dan subbahagian politiknya hak untuk mengenakan cukai ke atas gaji, dan emolumen, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dibayar oleh Bank kepada rakyat atau warganegara anggota itu.
3. Tiada apa jua jenis cukai boleh dikenakan ke atas apa-apa obligasi atau sekuriti yang dikeluarkan oleh Bank, termasuk apa-apa dividen atau faedah baginya, yang dipegang oleh sesiapa pun:
(i) yang mendiskriminasikan obligasi atau sekuriti itu semata-mata kerana ia dikeluarkan oleh Bank; atau
(ii) sekiranya satu-satunya asas bidang kuasa untuk pengenaan cukai itu ialah tempat atau mata wang ia dikeluarkan, kena dibayar atau dibayar, atau lokasi mana-mana pejabat atau tempat perniagaan yang disenggarakan oleh Bank.
4. Tiada apa jua jenis cukai boleh dikenakan ke atas apa-apa obligasi atau sekuriti yang dijamin oleh Bank, termasuk apa-apa dividen atau faedah baginya, yang dipegang oleh sesiapa pun:
(i) yang mendiskriminasikan obligasi atau sekuriti itu semata-mata kerana ia dijamin oleh Bank; atau
(ii) sekiranya satu-satunya asas bidang kuasa untuk pengenaan cukai itu ialah lokasi mana-mana pejabat atau tempat perniagaan yang disenggarakan oleh Bank.