Seksyen 19
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 19
Dalam masa tiga bulan selepas penutupan setiap tahun kewangan Bank, atau apa-apa tempoh lanjut sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri, Bank hendaklah mengemukakan kepada Menteri berkenaan dengan keseluruhan operasinya di Malaysia dua salinan bagi setiap satu dokumen yang berikut:
(a)
kunci kira-kira tahunan, akaun untung rugi tahunan dan penyata tahunannya yang sudah diaudit terakhir sekali yang menyatakan sumbersumber wangnya, dan maksud yang baginya, dan cara bagaimana, wang itu telah digunakan; dan
(b)
laporan daripada—
(i)
juruaudit di bawah perenggan 18(1)(b); dan
(ii)
pengarah di bawah subseksyen 169(5) Akta Akta 125. Syarikat 1965.
(2)
Dalam masa yang dinyatakan dalam subseksyen (1), Bank hendaklah, sebagai tambahan kepada kehendakkehendak di bawah subseksyen (1), mengemukakan kepada Menteri jika Bank mempunyai pejabat atau subsidiari di luar Malaysia, segala dokumen yang disebut di bawah subseksyen (1) berkenaan dengan—
(a)
operasinya di setiap negara di luar Malaysia; dan
(b)
keseluruhan operasinya baik di dalam mahupun di luar Malaysia atas dasar disatukan.
(3)
Menteri boleh, sama ada sebelum atau selepas Bank mematuhi kehendak subseksyen (1) atau (2), menghendaki Bank supaya mengemukakan maklumat lanjut atau tambahan sebagaimana yang difikirkannya perlu sama ada dengan cara penghuraian, penjelasan atau selainnya mengenai mana-mana dokumen yang dikemukakan di bawah subseksyen (1) atau (2), mengikut mana-mana yang berkenaan, atau supaya meminda atau mengubahsuaikan dokumen itu tentang bentuk atau kandungan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Menteri.
(4)
Melainkan jika dan sehingga Menteri telah memberitahu Bank secara bertulis bahawa—
(a)
Menteri berpuas hati yang Bank telah mematuhi peruntukan subseksyen (1) dan (3); dan
(b)
dokumen dan maklumat yang dibekalkan di bawahnya adalah mengikut bentuk dan mengandungi maklumat yang boleh diterima oleh Menteri,
Bank tidaklah boleh—
(aa) membentangkan akaunnya di dalam mesyuarat agungnya;
(bb) menyiarkan akaun itu di bawah seksyen 20; atau
(cc)
mengambil apa-apa tindakan lain berhubungan dengannya sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri, kecuali jika diluluskan selainnya oleh Menteri secara bertulis, dan apa-apa kelulusan sedemikian bolehlah dijadikan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalamnya.
(5)
Tertakluk kepada subseksyen (4), Bank hendaklah dalam masa enam bulan selepas penutupan tahun kewangannya atau apa-apa tempoh lanjut sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri, mengemukakan kepada Menteri empat salinan setiap satu dokumen yang disebutkan dalam subseksyen (1) berserta dengan kelulusan atau keputusan lain mesyuarat agung tahunan Bank berkenaan dengannya.
(6)
Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (1), (2), (3) atau (5), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(7)
Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (4), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit.