Seksyen 28
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 28
Jika Menteri berpuas hati bahawa mana-mana orang telah melanggar peruntukan-peruntukan seksyen 22, 23, 24 atau 26 (dalam seksyen ini disebut "orang ingkar"), dia boleh membuat suatu perintah permulaan secara bertulis yang mengenakan satu larangan atau lebih yang berikut sebagaimana yang terpakai atau sesuai dalam hal keadaan pelanggaran itu:
(a)
berkenaan dengan apa-apa syer yang menjadi subjek pelanggaran, suatu larangan mengenai—
(i)
pemindahan, atau pelaksanaan perjanjian untuk memindahkan, syer-syer itu, atau dalam hal syer-syer tak terbit, pemindahan, atau pelaksanaan perjanjian memindahkan, hak untuk diterbitkan syer kepada orang itu;
(ii)
penggunaan apa-apa hak mengundi berkenaan dengan syer-syer itu;
(iii)
penerbitan apa-apa syer tambahan sebagai hak daripada syer-syer itu atau menurut apa-apa tawaran yang dibuat kepada pemegangnya; atau
(iv)
kecuali dalam hal likuidasi, pembayaran apa-apa jumlah wang yang kena dibayar oleh Bank ke atas syer-syer itu, sama ada berkenaan dengan modal atau selainnya; atau
(b)
berkenaan dengan pelanggaran terhadap seksyen 26, suatu larangan mengenai penggunaan apa-apa hak di bawah apa-apa cagaran, atau hak memindahkan apa-apa harta yang merupakan cagaran itu.
(2)
Sesuatu perintah permulaan di bawah subseksyen (1) hendaklah disampaikan kepada orang ingkar dengan seberapa segera yang praktik, dan boleh diumumkan mengikut apa-apa cara yang difikirkan patut oleh Menteri, jika, pada pendapat Menteri, ia perlu diumumkan.
(3)
Sesuatu perintah permulaan hendaklah mengikat orang ingkar, mana-mana orang yang sedang memegang apa-apa syer yang baginya perintah itu terpakai, dan manamana orang lain yang ditentukan dalam perintah itu atau yang kepadanya perintah itu ditujukan.
(4)
Mana-mana orang yang memegang apa-apa syer yang baginya suatu perintah permulaan terpakai hendaklah dalam masa tujuh hari selepas perintah itu disampaikan kepada orang ingkar, atau dalam apa-apa tempoh yang lebih panjang sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri, menyerahkan balik syer-syer itu kepada Menteri.
(5)
Tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar sebelum Menteri membuat suatu perintah permulaan di bawah subseksyen (1) terhadapnya atau yang menyentuhnya dengan apa-apa cara.
(6)
Mana-mana orang ingkar yang terhadapnya suatu perintah permulaan telah dibuat, atau mana-mana orang lain yang terjejas dengan perintah itu, boleh, dalam masa empat belas hari dari tarikh perintah itu disampaikan kepada orang ingkar, membuat representasi-representasi secara bertulis kepada Menteri yang memohon bagi membatalkan perintah itu atas alasan bahawa dia tidak melanggar peruntukan-peruntukan yang berhubungan dengannya perintah itu telah dibuat, atau bagi suatu pengubahsuaian perintah itu atas alasan bahawa adalah adil dan patut untuk mengubahsuainya atas sebab-sebab yang akan dinyatakan dalam representasi itu.
(7)
Menteri boleh, selepas menimbangkan representasi yang dibuat di bawah subseksyen (6), sama ada mengesahkan perintah permulaan itu, atau membatalkannya, atau mengubahnya mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut.
(8)
Jika Menteri mengesahkan sesuatu perintah permulaan, dia boleh melupuskan syer-syer yang diserahkan balik kepadanya di bawah subseksyen (4) kepada manamana orang dan pada apa-apa takat yang hendaklah konsisten dengan syer-syer yang dipegang dengan sahnya oleh pembeli di bawah Akta ini.
(9)
Hasil pelupusan syer di bawah subseksyen (8) hendaklah dibayar kepada Mahkamah Tinggi, dan manamana orang yang menuntut sebagai berhak secara benefisial kepada kesemua atau mana-mana bahagian hasil itu boleh, dalam masa tiga puluh hari dari pembayaran itu kepada Mahkamah Tinggi, memohon kepada hakim Mahkamah Tinggi dalam kamar supaya pembayaran daripada hasil itu dibuat kepadanya.
(10)
Menteri boleh memberi apa-apa petunjuk atau arahan kepada pengarah atau pegawai Bank sebagaimana yang perlu atau dikehendaki untuk menguatkuasakan manamana perintah Menteri di bawah seksyen ini, atau sebagaimana yang bersampingan, berdampingan dengan atau yang berbangkit daripada perintah itu.
(11)
Apa-apa transaksi, termasuk apa-apa perjanjian atau perkiraan berhubungan dengan apa-apa syer, atau kepentingan dalam syer, atau cagaran, yang melanggar mana-mana perintah permulaan, atau apa-apa perintah yang disahkan di bawah subseksyen (7), atau apa-apa petunjuk atau arahan yang diberikan oleh Menteri di bawah subseksyen (10), hendaklah terbatal dan tidak mempunyai kuatkuasa.
(12)
Hal puas hati Menteri di bawah subseksyen (1) bahawa mana-mana peruntukan Akta ini yang disebut dalamnya telah dilanggar oleh mana-mana orang boleh dicapai tidak kira sama ada apa-apa pendakwaan diambil ataupun tidak terhadap mana-mana orang bagi pelanggaran itu.
(13)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(14)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (5) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi lima ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(15)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (10) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.