Seksyen 31
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 31
Tiada seorang pun boleh dilantik atau dipilih, atau menyetujuterima pelantikan atau pemilihan, sebagai seorang pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain yang bersangkut-paut dalam pengurusan, Bank—
(a)
jika dia seorang bankrap, telah menggantung pembayaran, atau telah menyelesaikan pembayaran dengan pemiutangnya, sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
(b)
tanpa menjejaskan perenggan (c), jika suatu pertuduhan atas kesalahan jenayah yang berhubungan dengan kecurangan, fraud atau keganasan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang boleh dihukum penjara selama satu tahun atau lebih, sama ada hukuman penjara sahaja, atau sebagai ganti, atau sebagai tambahan kepada, denda, telah dibuktikan terhadapnya di mana-mana mahkamah di dalam atau di luar Malaysia;
(c)
jika suatu pertuduhan atas apa-apa kesalahan di bawah Akta ini telah dibuktikan terhadapnya;
(d)
jika terhadapnya telah dibuat apa-apa perintah tahanan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau deportasi, atau jika ke atasnya telah dikenakan apa-apa bentuk sekatan atau pengawasan melalui bon atau selainnya, di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pencegahan jenayah, atau dengan tahanan pencegahan bagi pencegahan jenayah atau pengedaran dadah, atau dengan kediaman terhad atau buang negeri atau imigresen; atau
(e)
jika dia telah menjadi seorang pengarah, atau secara langsung bersangkut-paut dalam pengurusan, mana-mana perbadanan yang sedang atau telah digulungkan oleh mahkamah atau pihak berkuasa lain yang kompeten untuk berbuat demikian di dalam atau di luar Malaysia, atau mana-mana institusi berlesen, yang lesennya telah dibatalkan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.
(2)
Jika seseorang adalah tertakluk kepada kehilangan kelayakan di bawah perenggan (1)(e), dia boleh—
(a)
dilantik atau dipilih, atau menyetujuterima pelantikan atau pemilihan; atau
(b)
walau apa pun apa-apa jua dalam subseksyen (4), terus memegang jawatannya, sebagai pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain yang bersangkut-paut dalam pengurusan Bank jika Menteri berpuas hati, bahawa kriteria yang dinyatakan dalam seksyen 29 telah dipenuhi berkenaan dengannya.
(3)
Jika seseorang yang menjadi pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai yang bersangkut-paut dalam pengurusan Bank, menjadi tertakluk kepada apa-apa kehilangan kelayakan yang disebutkan dalam subseksyen (1), dia hendaklah dengan serta-merta sesudah itu terhenti memegang jawatan dan bertindak sebagai yang sedemikian, dan Bank hendaklah dengan serta-merta sesudah itu menamatkan pelantikannya atas sifat yang sedemikian.
(4)
Semasa belum selesainya apa-apa prosiding jenayah dalam mana-mana mahkamah bagi apa-apa kesalahan sebagaimana yang disebut dalam perenggan (1)(b) atau (1)(c) terhadap mana-mana orang yang menjadi seorang pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain yang bersangkut-paut dalam pengurusan Bank, orang itu tidaklah boleh bertindak atas sifat sedemikian, atau memegang apa-apa jawatan lain, atau bertindak atas apa-apa sifat lain, dalam Bank, atau dengan apa-apa cara, sama ada secara langsung atau secara tak langsung, bersangkut-paut dengan, atau mengambil bahagian atau terlibat dalam, apa-apa aktiviti, hal-ehwal atau perniagaan bagi atau berhubungan dengan Bank, kecuali sebagaimana yang dibenarkan oleh Menteri, tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang dikenakan oleh Menteri.
(5)
Bagi maksud subseksyen (4), prosiding jenayah yang disebut dalamnya hendaklah disifatkan belum selesai dari tarikh orang dituduh mula-mulanya dipertuduhkan dalam mahkamah bagi kesalahan itu sehinggalah tarikh keputusan muktamad akan prosiding itu, sama ada dalam mahkamah berbidang kuasa asal atau, sekiranya ada apaapa rayuan oleh mana-mana pihak, dalam mahkamah berbidang kuasa rayuan yang akhir.
(6)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(7)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (3) atau (4) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.