Skip to content

Seksyen 2

Tafsiran

of Akta Ahli Geologi 2008

ActIn forceProvision 2 of 52
Seksyen 2
(1)

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“ahli geologi asing” ertinya ahli geologi yang bukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia;

Undang-Undang Malaysia 8

Akta 689

“ahli geologi asing berdaftar” ertinya ahli geologi asing yang didaftarkan di bawah subseksyen 22(3);

“ahli geologi berdaftar” ertinya ahli geologi siswazah berdaftar, ahli geologi profesional berdaftar atau ahli geologi asing berdaftar;

“ahli geologi profesional berdaftar” ertinya ahli geologi profesional yang didaftarkan di bawah subseksyen 20(3);

“ahli geologi siswazah berdaftar” ertinya ahli geologi siswazah yang didaftarkan di bawah subseksyen 20(1);

“anggota” ertinya Pengerusi dan mana-mana anggota lain

Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 6;

“bahan batuan” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 5 Kanun Tanah Negara [Akta 56/1965];

“Daftar” ertinya Daftar Ahli Geologi yang disimpan dan disenggarakan oleh Lembaga di bawah seksyen 19;

“ditetapkan’ ertinya ditetapkan oleh atau di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;

“Inspektor” ertinya seseorang pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 37(1);

“Institut” ertinya Institut Geologi Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan termasuk mana-mana institut, badan atau pertubuhan yang menggantikannya yang diluluskan oleh Menteri;

“jawatankuasa” ertinya sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 14;

“Lembaga” ertinya Lembaga Ahli Geologi yang ditubuhkan di bawah subseksyen 3(1);

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pembangunan mineral dan geosains;

Ahli Geologi 9

“mineral” ertinya apa-apa bahan, sama ada dalam bentuk pepejal, cecair atau gas, yang terjadi—

(a)

dengan cara semula jadi;

(b)

hasil daripada perlombongan di dalam atau di atas tanah;

atau

(c)

hasil daripada perlombongan di dalam atau di bawah laut atau dasar laut, yang terbentuk oleh atau tertakluk kepada suatu proses geologi, tetapi tidak termasuk air, bahan batuan dan petroleum;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar Ahli Geologi yang dilantik di bawah seksyen 29;

“pengamal” ertinya orang yang disebut dalam subseksyen 21(1);

“pengamal berdaftar” ertinya seseorang yang didaftarkan di bawah subseksyen 21(1);

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(a) atau 6(2)(a), mengikut mana-mana yang berkenaan;

“perkhidmatan geologi” ertinya pemberian nasihat dan perkhidmatan geologi berkenaan dengan semua atau mana-mana yang berikut:

(a)

kajian kebolehlaksanaan;

(b)

perancangan;

(c)

survei geologi;

(d)

pelaksanaan, pentauliahan, pengendalian, penyenggaraan dan pengurusan kerja-kerja atau projek survei geologi;

dan

(e)

apa-apa perkhidmatan lain yang diluluskan oleh Lembaga;

Undang-Undang Malaysia 10

Akta 689

“petroleum” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah seksyen 2 Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95];

“tarikh yang ditetapkan” ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah subseksyen 1(2).

(2)

Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan amalan kejuruteraan di bawah Akta Pendaftaran

Jurutera 1967 [Akta 138] oleh seseorang ahli geologi berdaftar atau pengamal berdaftar.