Skip to content

Seksyen 2

Tafsiran

of Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024

ActIn forceProvision 2 of 54
Seksyen 2
(1)

Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“bahan merokok” ertinya apa-apa bahan atau apa-apa gabungan bahan, yang digunakan untuk merokok, termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol;

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Menteri dalam peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;

“iklan” termasuklah apa-apa gambaran melalui apa-apa cara bagi maksud mempromosikan secara langsung atau tidak langsung apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau;

“import” ertinya untuk membawa masuk atau menyebabkan dibawa masuk ke dalam Malaysia melalui darat, air atau udara bagi maksud penjualan dari mana-mana tempat di luar Malaysia tetapi tidak termasuk membawa masuk ke dalam Malaysia apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang terbukti dimaksudkan untuk dibawa ke luar Malaysia dalam kenderaan, vesel atau pesawat udara yang sama yang produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau itu dibawa masuk ke dalam Malaysia tanpa apa-apa pindah kapal atau pendaratan;

“juruanalisis” ertinya mana-mana juruanalisis yang dilantik oleh Menteri di bawah seksyen 22 atau mana-mana ahli kimia yang didaftarkan di bawah seksyen 15 Akta Ahli Kimia 1975

[Akta 158];

“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Kesihatan, Malaysia;

“menjual” atau “penjualan” termasuklah—

(a)

barter atau pertukaran barang;

(b)

menawarkan atau mencuba untuk menjual;

(c)

menyebabkan atau membenarkan untuk dijual;

Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 9

(d)

mendedahkan bagi penjualan;

(e)

menerima, menghantar, mengirim, mengedar, menyampaikan atau menghantar serah bagi penjualan atau pertukaran atau melalui penjualan atau pertukaran atau menurut penjualan atau pertukaran itu;

(f)

membekalkan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang suatu upah akan diterima oleh pembekal untuk bekalan itu sama ada secara khusus atau sebagai sebahagian daripada perkhidmatan yang dikontrakkan bagi penjualan;

(g)

memiliki apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau bagi penjualan atau pertukaran; atau

(h)

memiliki apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau dengan mengetahui bahawa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau itu boleh dijual, ditawarkan, ditayangkan atau didedahkan bagi penjualan, atau dilupuskan, bagi apa-apa balasan, dan ini termasuklah penjualan elektronik;

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kesihatan;

“merokok” ertinya menyedut dan menghembus asap atau wap, apa-apa produk tembakau atau produk pengganti tembakau, dan termasuklah memegang atau mempunyai kawalan ke atas apa-apa produk tembakau atau produk pengganti tembakau yang dinyalakan, dipanaskan atau diwapkan atau digunakan dengan apa-apa cara lain;

“orang belum dewasa” ertinya mana-mana orang yang di bawah umur lapan belas tahun;

“pegawai diberi kuasa” ertinya mana-mana pegawai perubatan kesihatan, atau mana-mana pegawai kesihatan persekitaran atau penolong pegawai kesihatan persekitaran daripada Kementerian

Kesihatan atau mana-mana pihak berkuasa tempatan, atau mana-mana orang berkelayakan yang sesuai, yang dilantik oleh

Menteri menjadi pegawai diberi kuasa di bawah seksyen 24;

Undang-Undang Malaysia 10

Akta 852

“pengilang” termasuklah mana-mana orang yang membungkus atau melabel produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau;

“pengimport” termasuklah mana-mana orang yang, sama ada sebagai pemunya, pemberi konsain, penerima konsain, ejen atau broker, memiliki, atau sebaliknya berhak kepada jagaan atau kawalan, produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang diimport;

“pertubuhan perbadanan” ertinya suatu syarikat, perkongsian liabiliti terhad, firma atau kumpulan orang yang lain;

“premis” termasuklah—

(a)

apa-apa bangunan atau khemah atau apa-apa struktur lain, kekal atau sebaliknya bersama dengan tanah yang bangunan, khemah atau struktur lain itu terletak dan apa-apa tanah bersempadanan yang digunakan yang berkaitan dengannya; atau

(b)

apa-apa kenderaan, pengangkut, vesel atau pesawat udara yang digunakan atau yang berkaitan dengan persediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, pengiriman, pengedaran atau penjualan apa-apa produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau;

“produk pengganti tembakau” ertinya apa-apa produk atau produk yang diproses, selain produk tembakau, yang boleh digunakan bagi merokok, sama ada dengan atau tanpa bahan merokok;

“produk tembakau” ertinya tembakau yang diproses atau apa-apa produk yang mengandungi tembakau yang dimaksudkan bagi kegunaan manusia;

“tembakau” ertinya apa-apa produk yang diperoleh daripada daun

Nicotiana tabacum atau spesies Nicotiana yang lain, sama ada dalam keadaan belum diawet atau sudah diawet dan termasuklah kacukan spesies ini, kacukan akibat daripada silangan spesies ini atau kacukan dengan mana-mana spesies pokok lain atau kacukan yang lain, atau versi spesies yang dihasilkan secara genetik atau kacukan spesies itu.

Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 11

(2)

Bagi maksud Akta ini, suatu sebutan mengenai “produk merokok” hendaklah ditafsirkan sebagai suatu sebutan mengenai produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau.