Seksyen 47
Penggantungan tempat letak kereta
Majlis boleh menggantung penggunaan mana-mana tempat atau petak letak kereta apabila penggantungan itu difikirkan perlu —
(a)
bagi maksud memudahkan pergerakan lalu lintas atau bagi mewujudkan keselamatan lalu lintas ;
(b)
bagi maksud menjalankan apa-apa kerja binaan, perobohan atau pengorekan atau bagi penyelenggaraan, pemajuan atau pembinaan semula tempat letak kereta atau pemasangan, pendirian, pengubahan atau pembaikan mana-mana betung atau mana-mana kabel, paip atau peralatan untuk bekalan air atau elektrik atau mana-mana talian telefon atau telegraf yang berdampingan atau berdekatan dengan tempat letak kereta itu; atau
(c)
bagi menyenangkan penghuni premis yang berdampingan atau berdekatan dengan tempat letak kereta ketika mengadakan upacara rasmi atau keagamaan atau apa-apa sebab lain yang difikirkan patut oleh Yang Dipertua
(2)
Atas apa-apa penggantungan yang dinyatakan di subperenggan (1), mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Majlis hendaklah menampalkan suatu notis yang sesuai berhampiran atau di tempat letak kereta atau petak letak kereta itu, dan adalah menyalahi undang-undang bagi mana-mana orang meletakkan apa-apa kenderaan motor di tempat letak kereta atau petak kereta itu melainkan bagi maksud yang mana penggantungan itu dibuat.
(3)
Jika mana-mana orang menghendaki penggunaan mana-mana petak atau petak-petak letak kereta digantung bagi tujuan persendirian, suatu permohonan bagi penggantungan itu boleh dibuat kepada Majlis dengan menyatakan tempat, bilangan petak letak kereta dan tempoh penggantungan yang diperlukan dan orang yang membuat permohonan itu hendaklah membayar kepada Majlis caj yang ditetapkan sepertimana dinyatakan dalam Jadual Kedua bagi jangka masa penggantungan tersebut.