Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023 · As enacted
13. Pengesahan dan tanggung rugi
Official textFrom Laws of Malaysia Online, unchanged
Walau apa pun peruntukan Akta ibu sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini, fi yang dikenakan dan dipungut oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan berkenaan dengan pertukaran milikan interim kenderaan motor sepanjang tempoh mulai 4 Oktober 2011
sehingga hari sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah disifatkan telah dikenakan dan dipungut dengan sah.
Tiada tindakan atau prosiding undang-undang boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan terhadap Kerajaan Malaysia, mana-mana pegawai Kerajaan Malaysia atau mana-mana orang yang bertindak di bawahnya berkenaan dengan apa-apa fi yang telah dikenakan dan dipungut semasa tempoh yang disebut dalam subseksyen (1), dan jika apa-apa tindakan atau prosiding undang-undang telah dibawa, dimulakan atau dikekalkan, ia hendaklah dibatalkan dan dijadikan tidak sah dan tiada pembayaran balik berkenaan dengan fi yang telah dikenakan dan dipungut sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta ini boleh dibuat.