Skip to content

Seksyen 35

of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)

ActPendingProvision 35 of 94

Seksyen 35

(1)

Tertakluk kepada kelulusan bertulis terlebih dahulu oleh Menteri, Bank tidaklah boleh memberi kepada manamana orang apa-apa kemudahan kredit tak bercagar yang, berserta dengan apa-apa kemudahan kredit lain yang diberikan terdahulu kepadanya, melebihi suatu amaun agregat yang ditentukan oleh Menteri.

(2)

Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi apa-apa kemudahan kredit yang diberikan—

(a)

kepada suatu institusi berlesen; atau

(b)

kepada mana-mana orang lain yang terlibat dalam penyediaan pembiayaan yang diluluskan secara bertulis oleh Menteri.

(3)

Suatu cagaran berkenaan dengan kemudahan kredit yang diberikan kepada mana-mana orang oleh Bank hendaklah terdiri daripada harta yang bernilai tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang diberikan kepada orang itu.

(4)

Jika suatu cagaran yang diadakan berkenaan dengan kemudahan kredit yang diberikan oleh Bank, di sepanjang tempoh berjalannya kemudahan kredit itu, dengan persetujuan di antara Bank dengan orang yang mengadakan cagaran itu, digantikan dengan suatu cagaran yang berlainan, Bank hendaklah memastikan bahawa cagaran baru itu hendaklah yang bernilai tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar pada masa penggantian tersebut.

(5)

Jika pada bila-bila masa di sepanjang tempoh berjalannya sesuatu kemudahan kredit, apa-apa cagaran yang diadakan di bawah subseksyen (3) atau yang digantikan di bawah subseksyen (4) berkenaan dengan kemudahan kredit itu tersusut nilainya kepada nilai yang kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar ketika itu, maka Bank hendaklah meminta orang yang kepadanya kemudahan kredit itu diberikan supaya mengadakan cagaran tambahan untuk meningkatkan nilai cagaran itu kepada amaun yang tidak kurang daripada amaun kemudahan kredit yang belum dibayar ketika itu dalam suatu tempoh yang tidak melebihi empat belas hari, dan jika cagaran tambahan itu tidak diadakan dalam tempoh tersebut, orang yang bertanggungan bagi kemudahan kredit itu hendaklah dengan serta-merta sesudah itu disifatkan melanggar terma-terma kontrak yang berhubungan dengan kemudahan kredit itu, dan Bank hendaklah berhak untuk menguatkuasakan hak-haknya di bawah kontrak berkenaan dengan pelanggaran mengenainya.

(6)

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh menjejaskan hak pihak-pihak dalam kontrak yang berhubungan dengan kemudahan kredit daripada memasukkan dalam kontrak itu pada masa ia dibuat, atau pada bila-bila masa selepas itu, apa-apa peruntukan yang berhubungan dengan cagaran yang akan diadakan bagi kemudahan kredit yang bermaksud untuk memastikan kecukupan cagaran itu di sepanjang tempoh berjalannya kemudahan kredit itu.

(7)

Bagi maksud seksyen ini, nilai apa-apa harta yang diadakan sebagai cagaran hendaklah—

(a)

nilai pasaran harta itu; atau

(b)

jika kerana apa-apa sebab nilai pasaran harta itu tidak mungkin dapat diputuskan, nilai yang diluluskan oleh Menteri atas permohonan oleh Bank yang hendaklah menerangkan nilai yang dicapai oleh Bank dan asas baginya.

(8)

Bagi maksud seksyen ini, Menteri boleh menetapkan—

(a)

apa-apa batasan, sekatan dan syarat yang tertakluk kepadanya apa-apa harta tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan harta, boleh diadakan atau disetujuterima sebagai cagaran; atau

(b)

apa-apa harta tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan harta, dilarang daripada diadakan atau disetujuterima sebagai cagaran.

(9)

Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (1), (4), (5) atau (8), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit.

(10)

Jika Bank melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (9), mana-mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah orang yang bertanggungjawab bagi Bank, adalah juga melakukan kesalahan itu dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.