Skip to content

Seksyen 36

of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)

ActPendingProvision 36 of 94

Seksyen 36

(1)

Bank tidaklah boleh memberi kepada mana-mana orang seorang apa-apa kemudahan kredit, atau menanggung apa-apa liabiliti bagi pihak mana-mana orang seorang, yang, berserta dengan apa-apa kemudahan kredit yang diberikan terdahulu kepada orang seorang itu, dan apa-apa liabiliti yang ditanggung terdahulu bagi pihaknya, oleh Bank, melebihi apa-apa peratusan yang ditetapkan bagi Bank oleh Menteri berhubungan dengan wang modal Bank, yang tak tercacat oleh kerugian atau selainnya.

(2)

Peruntukan subseksyen (1) tidaklah terpakai—

(a)

jika orang seorang yang disebut dalamnya adalah suatu institusi berlesen atau mana-mana orang yang ditentukan oleh Menteri yang terlibat dalam penyediaan pembiayaan;

(b)

bagi apa-apa kemudahan kredit yang diberikan kepada, atau liabiliti yang ditanggung bagi pihak, mana-mana orang oleh Bank berkenaan dengan import ke dalam atau eksport dari Malaysia atau perdagangan di Malaysia bersandarkan surat-surat kredit atau bil-bil pertukaran; atau

(c)

bagi apa-apa transaksi yang ditentukan oleh Menteri yang dibuat dengan mana-mana orang tertentu, atau apa-apa kelas, kategori atau perihalan orang, sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.

(3)

Bagi maksud seksyen ini, dalam menghitung amaun apa-apa kemudahan kredit yang diberikan kepada orang seorang, atau apa-apa liabiliti yang ditanggung bagi pihak orang seorang, apa-apa kemudahan kredit yang diberikan kepada, atau apa-apa liabiliti yang ditanggung bagi pihak, orang-orang yang berikut, hendaklah disifatkan sebagai suatu kemudahan kredit yang diberikan kepada, atau suatu liabiliti yang ditanggung bagi pihak, orang seorang itu:

(a)

jika orang seorang itu ialah seorang individu, suami atau isterinya, anaknya atau perbadanan keluarganya;

(b)

jika orang seorang itu ialah suatu perbadanan, perbadanan berhubungan atau sekutunya;

(c)

jika orang seorang itu ialah suatu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993, subsidiari-subsidiarinya sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 2 Akta itu, dan perbadanan-perbadanan berhubungan atau sekutu bagi subsidiari-subsidiari itu; atau

(d)

orang-orang yang bertindak bersama-sama dengan orang seorang itu:

Dengan syarat bahawa Menteri boleh menentukan bahawa kesemua atau mana-mana orang, atau mana-mana orang tertentu, atau mana-mana kelas, kategori atau perihalan orang, yang disebutkan dalam perenggan (a) hingga (d) hendaklah dikecualikan daripada pemakaian subseksyen ini berhubungan dengan mana-mana orang seorang tertentu, atau mana-mana kelas, kategori atau perihalan orang seorang, yang kepadanya kemudahan kredit diberikan, dan serentak dengan itu menentukan kriteria atau asas yang berasaskannya orang atau orang-orang tersebut hendak dikecualikan sedemikian.

(4)

Bagi maksud perenggan (3)(a), "perbadanan keluarga" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam subseksyen 23(4).

(5)

Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (1), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit.

(6)

Jika Bank melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (5), mana-mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah orang yang bertanggungjawab bagi Bank, adalah juga melakukan kesalahan itu dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.