Seksyen 40
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 40
Seseorang pengarah atau pegawai Bank tidaklah boleh memberi apa-apa kemudahan kredit yang melebihi had, atau di luar bidang apa-apa terma dan syarat, yang dikenakan kepadanya oleh Bank, atau yang berlanggaran dengan apa-apa arahan yang diberikan kepadanya, atau apa-apa perjanjian yang dibuat dengannya, oleh Bank.
(2)
Menteri boleh melalui notis bertulis mengarahkan Bank supaya—
(a)
mengemukakan apa-apa maklumat yang berhubungan dengan polisi dan prosedurnya mengenai pemberian apa-apa kemudahan kredit;
(b)
mengemukakan suatu laporan mengenai had atau terma-terma dan syarat-syarat yang dikenakan, arahan-arahan yang diberikan, dan perjanjian-perjanjian yang dibuat, berhubungan dengan kuasa tiap-tiap pengarah atau pegawai Bank yang dibenarkan memberi kemudahan-kemudahan kredit atau menjalankan apa-apa kuasa berkenaan dengannya itu; atau
(c)
membuat apa-apa pindaan kepada polisi atau prosedur yang disebut dalam perenggan (a), atau supaya membuat apa-apa pengubahan mengenai perkara-perkara yang disebutkan dalam perenggan (b), sebagaimana yang difikirkan patut dan sesuai oleh Menteri, sama ada secara am, atau berhubungan dengan apa-apa kelas pengarah atau pegawai, atau berhubungan dengan mana-mana pengarah atau pegawai tertentu, dan pindaan-pindaan serta pengubahan-pengubahan itu hendaklah mengikat Bank dan pengarah-pengarah serta pegawai-pegawainya.
(3)
Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
(4)
Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (2), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(5)
Jika Bank melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (4), mana-mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah orang yang bertanggungjawab bagi Bank, adalah juga melakukan kesalahan itu dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.