Seksyen 2
Dalam Akta ini melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain—
"bank" ertinya seseorang yang menjalankan perniagaan bank;
"bank berlesen" ertinya sesuatu bank yang memegang suatu lesen sah dan semua pejabat dan cawangan dalam Persekutuan bagi bank tersebut hendaklah disifatkan sebagai satu bank;
"Bank Negara" ertinya Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan oleh Ordinan Bank Negara Malaysia, 1958;
"cawangan" berkenaan dengan sesuatu bank, termasuk-lah sesuatu cawangan bergerak bagi bank itu dan sesuatu cawangan yang ditubuhkan dan disenggara bagi sesuatu tempoh terhad sahaja;
"lain-lain tanggungan deposit", berkenaan dengan sesuatu bank, ertinya tanggungan tanggungan deposit di bank itu lain daripada tanggungan akaun simpanan, tanggungan semasa dan tanggungan bermasa dan tanggungan-tanggungan deposit dari mana-mana bank berlesen yang lain atau Bank Negara;
"lesen" ertinya sesuatu lesen yang diberi di bawah seksyen 3;
"pendeposit" ertinya seseorang yang mempunyai sesuatu akaun di bank, samada akaun itu adalah suatu akaun semasa, suatu akaun deposit tetap, suatu akaun simpanan atau sesuatu akaun deposit lain;
"perbadanan" mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Akta Syarikat, 1965;
"perbadanan anak" mempunyai erti yang diberi kepada nya di bawah seksyen 5 Akta Syarikat, 1965;
“perniagaan bank” ertinya perniagaan menerima wang atas akaun semasa atau akaun deposit, membayar dan memungutcek yang dikeluarkan atau dibayar oleh pelanggan-pelanggan, dan memberi pendahuluan kepada pelanggan-pelanggan dan termasuklah lain-lain perniagaan sebagaimana yang ditetapkan oleh Bank Negara dengan kelulusan Menteri bagi maksud-maksud Akta ini;
"syer" ertinya syer dalam modal syer bagi sesuatu perbadanan dan termasuklah stok kecuali jika sesuatu perbezaan antara stok dan syer adalah dinyatakan atau difahamkan;
“tanggungan akaun simpanan” berkenaan dengan sesuatu bank ertinya jumlah deposit di bank itu yang biasanya menghendaki penyerahan buku simpanan untuk mendeposit atau mengeluarkan wang;
“tanggungan bermasa” berkenaan dengan sesuatu bank ertinya jumlah deposit di bank itu yang kena dibayar balik lain daripada apabila diminta, tetapi tidak termasuk tanggungan akaun simpanan atau deposit mana-mana bank berlesen yang lain atau deposit Bank Negara di bank itu;
“tanggungan semasa” berkenaan dengan sesuatu bank ertinya jumlah deposit di bank itu yang kena dibayar balik apabila diminta, tetapi tidak termasuk tanggungan akaun simpanan atau deposit mana-mana bank berlesen yang lain, atau deposit Bank Negara di bank itu.