Seksyen 47
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 47
Bagi maksud sesuatu pemeriksaan di bawah seksyen 45 atau 46, Bank dan pengarah-pengarah serta pegawai-pegawainya hendaklah membenarkan mana-mana orang yang menjalankan pemeriksaan itu akses kepada segala bukunya atau dokumen lain dan akaunnya, termasuk dokumen-dokumen hakmilik kepada aset-asetnya, semua cagaran yang dipegang olehnya berkenaan dengan transaksi pelanggan-pelanggannya, segala wang tunainya, dan kepada segala dokumen, maklumat dan kemudahan sebagaimana yang dikehendaki oleh orang itu bagi maksud pemeriksaan itu, dan hendaklah mengemukakan kepada orang itu segala buku atau dokumen lain, akaun, hakmilik, cagaran atau wang tunai dan memberi segala maklumat, sebagaimana yang dikehendakinya:
Dengan syarat bahawa, setakat yang konsisten dengan penjalanan pemeriksaan itu, buku atau dokumen, akaun, hakmilik, cagaran dan wang tunai itu tidaklah dikehendaki dikemukakan pada masa atau di tempat yang mungkin mengganggu penjalanan yang patut akan perniagaan harian biasa Bank.
(2)
Walau apa pun apa-apa jua dalam subseksyen (1), mana-mana orang yang diberikuasa oleh Menteri secara bertulis bagi maksud ini boleh mengambil milik apa-apa buku atau dokumen lain, akaun, hakmilik, cagaran atau wang tunai yang dia mempunyai akses kepadanya di bawah subseksyen (1) jika pada pendapat orang itu—
(a)
pemeriksaannya, penyalinannya, atau pembuatan cabutan daripadanya, tidak dapat diusahakan dengan munasabahnya tanpa mengambil miliknya;
(b)
ia mungkin diganggu atau dimusnahkan melainkan jika dia mengambil miliknya; atau
(c)
ia mungkin diperlukan sebagai keterangan dalam apa-apa prosiding undang-undang, sama ada civil atau jenayah, yang mungkin dimulakan di bawah atau berkaitan dengan Akta ini, atau mana-mana undang-undang bertulis lain.
(3)
Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (1), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(4)
Jika Bank melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (3), mana-mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah orang yang bertanggungjawab bagi Bank, adalah juga melakukan kesalahan itu dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(2)
Jika Bank tidak mematuhi subseksyen (1), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi tiga ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.