Seksyen 49
of Akta Bank Simpanan Nasional Berhad 1997 (Belum Berkuat Kuasa)
Seksyen 49
Jika—
(a)
Bank memberitahu Menteri—
(i)
bahawa ia tak solven;
(ii)
bahawa ia mungkin akan menjadi tak berupaya untuk menunaikan kesemua atau mana-mana obligasinya; atau
(iii)
bahawa ia hampir hendak menggantung pembayaran kepada apa-apa takat; atau
(b)
sama ada selepas suatu pemeriksaan dibuat di bawah seksyen 45 atau 46, atau selainnya, Menteri berpuas hati bahawa Bank—
(i)
sedang menjalankan perniagaannya mengikut cara yang memudaratkan kepentingan pendepositnya, atau pemiutangnya, atau orang awam secara amnya;
(ii)
adalah tak solven, atau telah menjadi atau mungkin akan menjadi tak berupaya untuk menunaikan kesemua atau mana-mana obligasinya, atau hampir hendak menggantung pembayaran kepada apa-apa takat; atau
(iii)
telah melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang bertulis, tidak kira tiada pendakwaan jenayah berkenaan dengannya, maka Menteri boleh, melalui perintah secara bertulis, menjalankan mana-mana satu kuasa atau lebih yang berikut, sebagaimana yang difikirkannya perlu:
(aa) menghendaki Bank supaya mengambil apa-apa langkah, atau apa-apa tindakan, atau melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan atau perkara, berhubungan dengan Bank, atau perniagaannya, atau pengarah-pengarahnya atau pegawai-pegawainya, yang difikirkan perlu oleh Menteri dan yang dinyatakan dalam perintah, dalam tempoh masa yang dinyatakan dalamnya;
(bb) melarang Bank daripada memberi apa-apa kemudahan kredit selanjutnya bagi apa-apa tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu, dan menjadikan larangan itu tertakluk kepada apa-apa kecualian, dan mengenakan apa-apa syarat berhubungan dengan kecualian itu, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu dan, dari semasa ke semasa, melalui perintah selanjutnya yang dibuat mengikut cara yang sama, melanjutkan tempoh yang disebut terdahulu;
(cc)
walau apa pun apa-apa jua dalam mana-mana undang-undang bertulis, atau apa-apa batasan yang terkandung dalam dokumen konstituen Bank, kerana sebab-sebab yang akan direkodkannya secara bertulis, memecat daripada jawatan, mulai dari suatu tarikh yang dinyatakan dalam perintah itu, mana-mana pegawai Bank;
(dd)
walau apa pun apa-apa jua dalam mana-mana undang-undang bertulis, atau apa-apa batasan yang terkandung dalam dokumen konstituen Bank, dan, khususnya, walau apa pun apa-apa batasan dalamnya tentang bilangan minimum atau maksimum pengarah, kerana sebab-sebab yang akan direkodkan olehnya secara bertulis—
(i)
memecat daripada jawatan, mulai dari suatu tarikh yang dinyatakan dalam perintah itu, mana-mana pengarah Bank; atau
(ii)
melantik mana-mana orang sebagai pengarah atau pengarah-pengarah Bank, dan mengadakan peruntukan dalam perintah itu supaya orang atau orang-orang yang dilantik sedemikian dibayar oleh Bank, apa-apa saraan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu; atau
(ee) melantik seseorang untuk menasihati Bank berhubungan dengan penjalanan perniagaannya dengan sepatutnya, dan mengadakan peruntukan dalam perintah itu supaya orang yang dilantik sedemikian dibayar oleh Bank, apa-apa saraan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.
(2)
Jika mana-mana hal keadaan yang dinyatakan dalam perenggan (1)(a) dan (1)(b) wujud berkenaan dengan Bank, maka Menteri boleh, sama ada atau tidak dia telah menjalankan mana-mana kuasanya di bawah perenggan (1)(aa), (1)(bb), (1)(cc), (1)(dd) atau (1)(ee)—
(a)
mengambil alih kawalan kesemua harta, perniagaan dan hal-ehwal Bank, atau mengambil alih kawalan apa-apa bahagian harta, perniagaan dan hal-ehwalnya, atau melalui perintah yang disiarkan dalam Warta melantik mana-mana orang untuk berbuat demikian bagi pihaknya;
(b)
melantik mana-mana orang untuk menjalankan kesemua atau mana-mana bahagian perniagaan dan hal-ehwal Bank yang baginya kawalan telah diambil alih oleh Menteri;
(c)
memohon, atau memberikuasa kepada mana-mana orang melalui perintah yang disiarkan dalam Warta untuk memohon, kepada Mahkamah Tinggi untuk melantik seorang penerima atau pengurus untuk menguruskan kesemua perniagaan, hal-ehwal dan harta Bank, atau apa-apa bahagian perniagaan, hal-ehwal dan harta itu sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan bagi segala perintah atau arahan Mahkamah Tinggi yang bersampingan, berdampingan atau yang berbangkit berhubungan dengan pelantikan itu sebagaimana yang, pada pendapat Menteri, perlu atau suaimanfaat; atau
(d)
mengemukakan, atau memberikuasa kepada manamana orang melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengemukakan, suatu petisyen kepada Mahkamah Tinggi bagi penggulungan Bank.
(3)
Kos dan perbelanjaan yang dilakukan berhubungan dengan pengambilalihan kawalan di bawah perenggan (2)(a) atau saraan orang yang dilantik di bawah perenggan itu atau perenggan (2)(b), mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah kena dibayar daripada wang dan harta Bank sebagai gadaian pertama ke atasnya.
(4)
Sesuatu perintah Menteri di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh, dari semasa ke semasa, diubahsuaikan, dipinda, diubahpinda, diubah atau digantikan sama ada secara prospektif, atau jika ia bukannya tak praktik atau tak patut untuk berbuat demikian, secara retrospektif, melalui suatu perintah selanjutnya di bawah subseksyen (1) atau (2), mengikut mana-mana yang berkenaan.
(5)
Tiada perintah di bawah subseksyen (1) atau (2), atau menurut kuasa subseksyen (4), boleh dibuat melainkan jika Bank, dan dalam hal sesuatu perintah di bawah perenggan (1)(cc) atau subperenggan (1)(dd)(i), juga pegawai atau pengarah yang hendak dipecat daripada jawatan, telah diberikan peluang yang munasabah untuk membuat representasi-representasi terhadap, atau selainnya berkenaan dengan, perintah yang dicadangkan itu:
Dengan syarat bahawa jika pada pendapat Menteri, dalam hal sesuatu perintah yang hendak dibuat oleh Menteri di bawah subseksyen (1) atau (2), atau menurut kuasa subseksyen (4), apa-apa kelengahan akan memudaratkan kepentingan Bank, atau pendeposit-pendeposit atau pemiutang-pemiutangnya, atau orang awam secara am, perintah itu boleh dibuat terdahulu dan peluang untuk membuat representasi-representasi terhadap atau selainnya berhubungan dengan perintah itu hendaklah, dalam hal yang sedemikian, diberikan selepas sahaja perintah itu telah dibuat, dan perintah itu boleh, berbangkit daripada representasi-representasi itu sama ada disahkan, atau diubahsuaikan, dipinda, diubahpinda, diubah atau digantikan di bawah subseksyen (4), atau dibatalkan di bawah subseksyen (6), tertakluk kepada apa-apa syarat, jika ada, sebagaimana yang difikirkan patut dikenakan oleh Menteri.
(6)
Sesuatu perintah Menteri yang dibuat di bawah subseksyen (1), atau menurut kuasa subseksyen (4) boleh pada bila-bila masa dibatalkan melalui suatu perintah yang dibuat mengikut cara yang sama oleh Menteri dan apa-apa perintah itu boleh mengandungi perintah, arahan atau peruntukan yang bersifat bersampingan, berdampingan atau berbangkit, sebagaimana yang difikirkan perlu atau suaimanfaat oleh Menteri.
(7)
Jika Bank tidak mematuhi—
(a)
perenggan (1)(aa) atau (1)(bb), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan;
(b)
subperenggan (1)(dd)(ii) atau perenggan (1)(ee), ia adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(8)
Jika Bank melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan (1)(aa) atau (1)(bb), mana-mana orang yang pada masa berlakunya kesalahan itu ialah orang yang bertanggungjawab bagi Bank, adalah juga melakukan kesalahan itu dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
(9)
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (5) atau (6) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya dan, dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda selanjutnya tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.