Seksyen 20
of Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007
Seksyen 20
(1)
Jika apa-apa kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan oleh seseorang, yang dalam seksyen ini disebut sebagai “prinsipal”, mana-mana orang yang pada masa pelakuan kesalahan itu, mengikut apa-apa cara atau sehingga apa-apa takat bertanggungjawab bagi pengurusan urusan atau hal ehwal prinsipal itu atau membantu dalam pengurusan itu melakukan kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa keizinan atau pembiarannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah yang munasabah yang patut diambil olehnya, dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu, untuk menghalang pelakuan kesalahan itu.
(2)
Jika mana-mana prinsipal boleh dikenakan apa-apa hukuman atau penalti di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran, dia boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran mana-mana pekhidmat atau ejennya jika perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu dilakukan oleh pekhidmat itu dalam penjalanan pekerjaannya atau oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihak prinsipal itu.