Malaysia legislation
Section 2
Seksyen 2
Dalam Akta ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain—
"ahli" ertinya seseorang ahli Majlis Veterinar, Malaysia;
"Daftar" ertinya Daftar Doktor Veterinar Malaysia yang dikehendaki disenggarakan di bawah seksyen 11;
“didaftarkan” atau "berdaftar" ertinya didaftarkan di bawah seksyen 12;
"doktor veterinar" ertinya seseorang yang memegang mana-mana daripada kelulusan-kelulusan yang dinyatakan dalam Bahagian I dan Bahagian II dalam Jadual Kedua;
"Ketua Pengarah" ertinya Ketua Pengarah Perkhidmatan Haiwan, Malaysia;
"Majlis" ertinya Majlis Veterinar Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;
"Menteri" ertinya Menteri yang bertanggungjawab berkenaan dengan hal-hal veterinar;
"pengamalan perubatan veterinar" ertinya—
(a)
mendiagnosa, merawat, membetul, menukar, meringankan atau mencegah penyakit haiwan, cenangga, cacat, bencana atau lain-lain keadaan jasmani atau mental; termasuklah menentu, memberi atau mengguna sesuatu dadah, ubat, biologiks, alat, benda atau teknik bius atau lain-lain benda atau teknik penyembuhan atau diagnosa, dan penggunaan apa-apa acara manual atau mekenikal untuk pemanian beradas, untuk menguji samada bunting atau tidak, atau untuk mengubati kemandulan atau kesambangan, atau memberi nasihat atau syor-syor berkenaan dengan apa-apa yang tersebut di atas, atau melakukan apa-apa perbuatan yang diiktiraf sebagai suatu tugas seorang doktor veterinar;
(b)
merupakan, secara langsung atau secara taklangsung, kepada orang awam atau kepada pihak persendirian, kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu perbuatan yang diperihalkan dalam perenggan (a) di atas;
(c)
menggunakan sesuatu taitel, perkataan-perkataan, kependekan atau huruf-huruf dengan cara atau dalam hal keadaan yang mungkin mendorong kepercayaan bahawa orang yang menggunakannya itu adalah seorang doktor veterinar;
"perakuan pengamalan tahunan" ertinya perakuan pengamalan tahunan yang tersebut dalam seksyen 17;
"Pendaftar" ertinya Pendaftar Doktor-doktor Veterinar yang tersebut dalam seksyen 10;
"perkhidmatan awam" mempunyai erti yang diberi kepadanya oleh Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan termasuklah perkhidmatan sesuatu pihakberkuasa tempatan atau perkhidmatan sesuatu pihakberkuasa berkanun yang menjalankan kuasa-kuasa yang diletakhakkan padanya oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri;
"perubatan veterinar" termasuklah pembcdahan veterinar, obsteriks, pergigian dan segala cawangan atau kepakaran perubatan haiwan yang lain;
"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Majlis Veterinar Malaysia yang dilantik di bawah perenggan-kecil (1) perenggan 1, Jadual Pertama.