Seksyen 8
Pemeriksaan orang yang mengetahui tentang kes
Seseorang pegawai diberi kuasa yang membuat penyiasatan di bawah seksyen 6 boleh mendapatkan maklumat daripada mana-mana orang yang dijangkakan mengetahui fakta dan hal keadaan kes itu.
(2)
Orang itu adalah terikat di sisi undang-undang untuk menjawab segala soalan yang berhubungan dengan kes itu yang diajukan kepadanya oleh pegawai diberi kuasa itu:
Dengan syarat bahawa orang itu boleh enggan menjawab mana-mana soalan yang jawapannya akan cenderung kearah mendedahkannya kepada suatu pertuduhan atau penalti jenayah atau pelucuthakan.
(3)
Seseorang yang membuat penyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada atau tidak pernyataan itu dibuat pada keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai jawapan kepada soalan.
(4)
Pegawai diberi kuasa yang mendapatkan maklumat daripada seseorang hendaklah terlebih dahulu memberitahu orang itu tentang subseksyen (2) dan (3).
(5)
Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, bilamana mungkin, ditukar ke dalam bentuk bertulis dan ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau dicapkan dengan cap ibu jarinya, mengikut mana-mana yang berkenaan, selepas pernyataan itu dibacakan kepadanya dalam bahasa pernyataan itu dibuatnya dan selepas dia telah diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia mahu.
Undang-Undang Malaysia 16
Akta 501