Seksyen 26
Peletakan jawatan dan pemecatan pemegang amanah
Pemegang amanah boleh meletakkan jawatan dengan memberikan tiga bulan notis bertulis atau apa-apa tempoh yang lebih pendek mengikut peruntukan surat ikatan amanah atau perjanjian kontraktual, mengikut mana-mana yang berkenaan.
(2)
Syarikat pengurusan boleh memecat pemegang amanah dengan memberikan tiga bulan notis bertulis kepada pemegang amanah dan pemegang kepentingan.
(3)
Notis di bawah subseksyen (2) menjadi tidak sah jika pemecatan itu dibantah oleh sekurang-kurangnya lima puluh peratus pemegang kepentingan.
(4)
Pemegang kepentingan boleh memecat pemegang amanah dengan memberikan tiga bulan notis kepada pemegang amanah dan syarikat pengurusan selepas keputusan dibuat melalui ketetapan
36 Undang-Undang Malaysia AKTA 778
mesyuarat pemegang kepentingan dan dipersetujui oleh tidak kurang daripada sepuluh peratus pemegang kepentingan yang hadir secara sendiri atau oleh proksi.
(5)
Apabila pemegang amanah meletakkan jawatan atau dipecat, syarikat pengurusan itu hendaklah melantik pemegang amanah yang baharu melalui surat ikatan tambahan atau perjanjian kontraktual tambahan.
(6)
Walau apa pun subseksyen (5), peletakan jawatan atau pemecatan pemegang amanah tidak berkuat kuasa melainkan jika pemegang amanah yang baharu dilantik.
(7)
Pemegang amanah hendaklah, setelah meletakkan jawatan atau dipecat, dalam masa empat belas hari dari tarikh pelantikan pemegang amanah yang baharu, meletak hak akaun amanah ke atas pemegang amanah baharu dan menghantar semua buku, dokumen, rekod dan harta lain yang berhubungan dengan skim itu kepada pemegang amanah baharu.
(8)
Kos dan perbelanjaan sampingan yang dilakukan di bawah subseksyen (7) hendaklah ditanggung oleh syarikat pengurusan.
(9)
Setelah surat ikatan amanah tambahan atau perjanjian kontraktual tambahan diselesaikan, pemegang amanah baharu hendaklah melaksanakan semua kuasa, kewajipan dan obligasi berkenaan dengan skim itu.