Skip to content

Seksyen 65

Perlindungan pemberi maklumat dan maklumat

of Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009

ActIn forceProvision 65 of 74
Seksyen 65
(1)

Tertakluk pada subseksyen (2), jika apa-apa aduan yang dibuat oleh seseorang pegawai Suruhanjaya menyatakan bahawa aduan itu dibuat berbangkit daripada maklumat yang diterima oleh pegawai yang membuat aduan itu, maklumat yang disebut dalam aduan itu dan identiti orang yang daripadanya maklumat itu diterima hendaklah menjadi rahsia antara pegawai yang membuat aduan itu dengan orang yang memberikan maklumat itu, dan segala-gala yang terkandung dalam maklumat itu, identiti orang yang memberikan maklumat itu dan segala hal keadaan lain yang berhubungan dengan maklumat itu, termasuk tempat maklumat itu diberikan, tidak boleh didedahkan atau diperintahkan atau dikehendaki supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau yang lain dalam mana-mana mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.

(2)

Jika apa-apa buku, kertas atau dokumen lain, atau apa-apa rakaman tampak atau bunyi, atau benda atau bahan lain yang diberikan sebagai keterangan atau yang boleh diperiksa dalam mana-mana prosiding sivil, jenayah atau yang lain dalam mana-mana mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain sebagaimana yang disebut dalam subseksyen (1) mengandungi apa-apa catatan atau benda lain yang menamakan atau memperihalkan atau menunjukkan mana-mana orang yang memberikan maklumat itu, atau yang mungkin membawa kepada penzahiran identitinya, mahkamah yang di hadapannya prosiding itu diadakan hendaklah menyebabkan segala bahagian dokumen, rakaman, benda atau bahan itu atau petikan dalamnya disembunyikan daripada pandangan atau dipadamkan atau selainnya dihapuskan setakat yang perlu untuk melindungi identiti orang itu daripada terzahir.

(3)

Mana-mana orang yang memberikan maklumat yang disebut dalam subseksyen (1) sedangkan dia tahu bahawa maklumat itu adalah palsu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun, dan juga boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit;

dan bagi maksud apa-apa penyiasatan atau pendakwaan apa-apa kesalahan di bawah subseksyen ini, subseksyen (1) dan (2) tidaklah terpakai.

Undang-Undang Malaysia 76

Akta 694