Skip to content
In forceAs enacted

Bahagian IV · Tindakan Tatatertib

30. Section 30

Feedback & support
(1)

Pada menjalankan bidangkuasa tatatertibnya, Majlis boleh mengenakan mana-mana daripada hukuman-hukuman yang berikut—

(a)

memerintahkan supaya nama doktor veterinar berdaftar itu dipotong dari Daftar;

(b)

memerintahkan supaya nama doktor veterinar berdaftar itu digantung dari Daftar selama sesuatu tempoh yang difikirkannya patut;

(c)

memerintahkan supaya doktor veterinar berdaftar itu dicela; atau

(d)

membuat sesuatu perintah sebagaimana tersebut di atas tetapi menggantung pelaksanaannya, tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh Majlis, selama satu atau beberapa tempoh yang kesemuanya berjumlah tidak lebih daripada dua tahun, dan boleh, dalam sesuatu hal, membuat apa-apa perintah yang difikirkan patut oleh Majlis berkenaan dengan pembayaran kos Pendaftar dan kos seseorang pengadu atau kos doktor veterinar berdaftar itu, dan apa-apa kos yang diaward boleh dituntut sebagai hutang sivil.

(2)

Jika nama seseorang doktor veterinar berdaftar diperintahkan oleh Majlis supaya dipotong atau digantung dari Daftar, maka ia hendaklah dalam masa lima hari selepas perintah itu dibuat menyerahkan balik kepada Pendaftar perakuan pengamalan tahunan semasanya termasuk sesuatu perakuan pengamalan tahunan yang terbaharu yang mungkin telah diperolehinya daripada Pendaftar dan juga perakuan pendaftarannya:

Dengan syarat bahawa jika doktor veterinar itu atau peguambela dan peguamcaranya tidak hadir di hadapan Majlis pada masa perintah itu dibuat, Pendaftar hendaklah memberi notis kepada doktor veterinar itu dengan bertulis, mengenai perintah yang dibuat oleh Majlis itu dan menghendaki dalam notis itu supaya doktor veterinar itu menyerahkan balik kepadanya perakuan pendaftarannya dan perakuan pengamalan tahunan semasanya termasuk sesuatu perakuan pengamalan tahunan yang terbaharu yang mungkin telah diperolehinya daripada Pendaftar dalam masa tujuh hari selepas notis itu diserahkan di alamat berdaftarnya, atau di alamatnya yang akhir diketahui jika alamat itu berbeza dengan alamat berdaftarnya dan jika pada pendapat Pendaftar penyampaian secara itu akan lobih berkesan.

(3)

Jika doktor veterinar berdaftar itu tidak menyerahkan balik perakuan pengamalan semasanya termasuk sesuatu perakuan pengamalan tahunan yang terbaharu yang mungkin telah diperolehinya daripada Pendaftar dan juga perakuan pendaftarannya dalam masa yang diperuntukkan dalam seksyen-kecil (2) maka ia adalah bersalah atas suatu kesalahan terhadap Akta ini.

(4)

Pendaftar hendaklah menyiarkan dalam Warta nama orang yang dipotong dari Daftar atau digantung daripada menjalankan amalan di bawah peruntukan-peruntukan seksyen ini samada--

(a)

apabila tamat tempoh satu bulan yang ditetapkan dalam seksyen 31, jika orang itu tidak membuat rayuan terhadap keputusan Majlis itu, atau

(b)

selepas sahaja keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi mengesahkan keputusan Majlis itu, jika doktor veterinar itu membuat rayuan terhadap keputusan Majlis itu, mengikut mana yang berkenaan.

(5)

Tiada seseorang yang namanya telah dipotong dari Daftar di bawah peruntukan seksyen ini berhak kemudianya memohon supaya didaftarkan di bawah peruntukan Akta ini, tetapi Majlis boleh, jika difikirkannya patut dalam sesuatu hal, atas permohonan orang yang berkenaan itu memerintahkan supaya nama orang itu dimasukkan semula dalam Daftar; dan jika nama seseorang orang telah digantung dari Daftar selama tempoh yang terhad sahaja, maka orang itu adalah berhak selepas tamat tempoh itu, tetapi tidak lebih awal, memohon supaya dikembalikan kepadanya perakuan pendaftaran dan perakuan pengamalan tahunan (jika tempoh yang baginya ia dikeluarkan masih belum tamat).

(6)

Sesuatu permohonan di bawah seksyen-kecil (5) hendaklah dibuat mengikut cara atau bentuk dan disertai dengan apa-apa dokumen, gambarfoto, butir-butir, dan bayaran sebagaimana yang ditetapkan.

Report

Bahagian V

Bahagian VI

Peraturan-Peraturan

Bahagian VII

Peruntukan-Peruntukan Tambahan bagi Maksud-Maksud Negara

Schedules