Seksyen 58
Kesalahan oleh pertubuhan perbadanan dan oleh pekhidmat dan ejen
of Akta 627
Jika apa-apa kesalahan terhadap mana-mana peruntukan Akta ini telah dilakukan oleh mana-mana pertubuhan perbadanan atau persatuan orang, mana-mana orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan merupakan seorang pengarah atau pegawai pertubuhan perbadanan atau persatuan orang itu atau yang berupa sebagai bertindak atas apa-apa sifat yang sedemikian, atau telah dengan apa-apa jua cara atau sehingga apa-apa takat bertanggungjawab bagi pengurusan mana-mana hal ehwal pertubuhan perbadanan atau persatuan orang itu, atau telah membantu dalam pengurusan itu, bersalah atas kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa keizinannya atau dibiarkan olehnya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha untuk mencegah pelakuan kesalahan itu sebagaimana yang patut dilakukannya, dengan mengambil kira jenis fungsinya atas sifat itu dan semua hal keadaan.
(2)
Jika mana-mana orang, yang dalam subseksyen ini disebut sebagai "prinsipal", boleh dikenakan di bawah Akta ini apa-apa hukuman atau penalti bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran, dia hendaklah boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran sedemikian yang dilakukan oleh mana-mana kerani, pekhidmat atau ejennya, atau oleh kerani atau pekhidmat ejen itu jika perbuatan, peninggalan, pengabaian atau keingkaran itu dilakukan oleh kerani atau pekhidmat prinsipal itu dalam penjalanan pekerjaannya, atau oleh ejen itu apabila bertindak bagi pihak prinsipal itu, atau oleh kerani atau pekhidmat ejen itu dalam penjalanan pekerjaannya dengan ejen itu atau selainnya bagi pihak ejen itu.