Seksyen 20
Lintasan rata kerja
(1)
Ketua Pengarah boleh, pada bila-bila masa, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana jalan atau jalan kecil yang dilintasi oleh sesuatu landasan keretapi sebagai suatu
“lintasan rata kerja”.
(2)
Apabila perisytiharan sedemikian telah dibuat, syarikat keretapi hendaklah menyediakan, di lintasan rata kerja itu, get atau sawar merintangi jalan atau jalan kecil itu, yang tidak boleh ditutup merintangi landasan keretapi itu, dan yang hendaklah dikunci apabila tidak digunakan. Kunci bagi get atau sawar itu hendaklah disimpan oleh seorang pegawai keretapi.
(3)
Walau apa pun subseksyen (2), pendua bagi kunci get atau sawar bagi mana-mana lintasan rata kerja boleh diamanahkan oleh
30 Undang-Undang Malaysia AKTA 463
syarikat keretapi kepada mana-mana orang yang kerap kali menggunakan lintasan rata kerja sedemikian dan kunci itu hendaklah dipegang simpan dan digunakan oleh orang itu selama apa-apa tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditetapkan oleh syarikat keretapi.
(4)
Syarikat keretapi boleh, dari semasa ke semasa, menentukan waktu yang sesuai bagi pembukaan get dan sawar mana-mana lintasan rata kerja, dan get atau sawar itu hendaklah hanya dibuka oleh pegawai keretapi yang menyimpan kunci get atau sawar itu pada masa yang telah ditentukan oleh syarikat keretapi.
(5)
Mana-mana orang, yang bukanlah seorang yang kunci get atau sawar diamanahkan kepadanya di bawah subseksyen (3), yang berniat untuk menggunakan sesuatu lintasan rata kerja di luar waktu yang ditentukan di bawah subseksyen (4), hendaklah memberi kepada pegawai keretapi yang menyimpan kunci get dan sawar itu, notis mengenai niatnya untuk berbuat demikian.