Skip to content

Seksyen 28

Akses kepada pendidikan

of Akta Orang Kurang Upaya 2008

ActIn forceProvision 28 of 46
Seksyen 28
(1)

Orang kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum atas asas ketidakupayaan, dan kanak-kanak kurang upaya tidak boleh dikecualikan daripada pendidikan prasekolah, rendah, menengah dan tinggi, atas asas kesetaraan dengan orang atau kanak-kanak upaya, termasuk latihan vokasional dan pembelajaran sepanjang hayat.

(2)

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah, bagi membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya melanjutkan pelajaran, menyediakan penyesuaian munasabah yang sesuai dengan keperluan orang dan kanak-kanak kurang upaya dari segi, antara lain, prasarana, kelengkapan dan bahan pengajaran, kaedah pengajaran, kurikulum dan bentuk sokongan lain yang memenuhi pelbagai keperluan orang atau kanak-kanak kurang upaya.

(3)

Kerajaan dan penyedia pendidikan swasta hendaklah mengambil langkah yang sesuai untuk membolehkan orang dan kanak-kanak kurang upaya mempelajari kemahiran hidup dan pembangunan sosial bagi memudahkan penyertaan penuh dan setara mereka dalam pendidikan termasuk yang berikut:

(a)

untuk memudahkan pembelajaran Braille, skrip alternatif, kaedah augmentatif dan alternatif, cara dan format komunikasi dan kemahiran orientasi dan mobiliti, dan memudahkan sokongan rakan sebaya dan pementoran;

(b)

untuk memudahkan pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia dan penggalakan identiti linguistik komuniti orang pekak;

dan

(c)

untuk memastikan bahawa pendidikan orang dan khususnya kanak-kanak, yang buta, pekak atau pekak-buta disampaikan dalam bahasa, kaedah dan cara komunikasi yang paling sesuai bagi individu, dan dalam persekitaran yang memaksimumkan pembangunan akademik dan sosial.