Tafsiran 40a. Dalam Subpenggal ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“orang yang berkaitan” ertinya suatu bursa saham, bursa derivatif, pasaran diiktiraf, pusat penjelasan diluluskan atau depositori pusat, mengikut mana-mana yang berkenaan;
Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan)
13
“pegawai kanan” ertinya seseorang, selain ketua pegawai eksekutif atau pengarah, yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk merancang, mengarah atau mengawal aktiviti orang yang berkaitan, termasuk ketua pegawai operasi, anggota jawatankuasa pembuat keputusan dan orang lain yang melaksanakan fungsi utama seperti pengurusan risiko, pematuhan, audit dalaman atau fungsi lain sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya;
“pengurus berkanun” ertinya seseorang yang dilantik oleh Suruhanjaya di bawah Subpenggal ini bagi maksud menguruskan keseluruhan atau mana-mana bahagian urusan dan hal ehwal orang yang berkaitan.
Penyiaran notis penggantungan perdagangan atau penutupan 40b. Jika suatu tindakan diambil oleh Menteri atau Suruhanjaya di bawah seksyen 12, 18, 27, 28, 354 atau 355, mengikut mana-mana yang berkenaan, Suruhanjaya hendaklah menyiarkan suatu notis mengenai tindakan yang diambil itu mengikut apa-apa cara yang didapati sesuai oleh Suruhanjaya.
Hak bursa saham, bursa derivatif atau pusat penjelasan diluluskan tidak terjejas oleh undang-undang yang berhubungan dengan kontrak 40c. Tiada apa-apa jua dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan kontrak, setakat ketidakselarasannya dengan peruntukan Akta ini atau kaedah-kaedah bursa saham, bursa derivatif atau pusat penjelasan diluluskan, boleh menyebabkan tidak boleh dikuatkuasakan atau selainnya menjejaskan—