Seksyen 64
Pengkompaunan kesalahan
of Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006
(1)
Ketua Pengarah boleh, dengan keizinan secara bertulis
Pendakwa Raya, mengkompaunkan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang di bawah seksyen 55, 58, 59
atau 60 Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah
Akta ini yang ditetapkan sebagai suatu kesalahan yang boleh
Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 37
dikompaunkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah
Akta ini dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaunkan kesalahan itu apabila dibayar kepada Ketua Pengarah suatu amaun wang yang tidak melebihi lima puluh peratus daripada amaun denda maksimum bagi kesalahan itu dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu.
(2)
Sesuatu tawaran di bawah subseksyen (1) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan itu dilakukan, tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan dan jika amaun yang dinyatakan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu atau dalam apa-apa tempoh lanjutan yang diberikan oleh Ketua Pengarah, pendakwaan bagi kesalahan itu bolehlah dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu dibuat.
(3)
Jika sesuatu kesalahan telah dikompaunkan di bawah subseksyen (1), tiada pendakwaan boleh dimulakan berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk mengkompaun itu dibuat dan apa-apa benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu boleh dilepaskan atau dilucuthakkan kepada jabatan yang bertanggungjawab bagi pembangunan kemahiran sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkannya patut.
(4)
Semua jumlah wang yang diterima oleh jabatan yang bertanggungjawab bagi pembangunan kemahiran di bawah seksyen ini hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi sebahagian daripada
Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.