Malaysia legislation

Section 108

of AKTA WARISAN KEBANGSAAN 2005

Seksyen 108

Pemeriksaan orang yang mengetahui kes

(1)

Seseorang pegawai penguat kuasa yang membuat penyiasatan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini boleh memeriksa secara lisan mana-mana orang yang dijangkakan mengetahui fakta dan hal keadaan kes itu dan hendaklah mengubah apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian ke dalam bentuk bertulis.

(2)

Orang itu adalah terikat untuk menjawab segala soalan berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai penguat kuasa, tetapi dia boleh enggan menjawab apa-apa soalan yang jawapannya mungkin mendedahkan orang itu kepada suatu pertuduhan jenayah atau penalti atau pelucuthakan.

(3)

Seseorang yang membuat suatu pernyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada atau tidak pernyataan itu dibuat keseluruhannya atau sebahagiannya bagi menjawab soalan-soalan itu.

(4)

Seseorang pegawai penguat kuasa yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan orang itu mengenai peruntukan subseksyen (2) dan (3).

(5)

Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, bilamana mungkin, diubah ke dalam bentuk bertulis dan ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau dicapkan dengan cap ibu jarinya, mengikut mana-mana yang berkenaan, selepas—

(a)

pernyataan itu dibacakan kepadanya dalam bahasa pernyataan itu dibuat olehnya; dan

(b)

dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia mahu.