Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 · Updated to 6 Oct 2023 · Bahagian VI · Pengawalan Orang yang Ingkar
58. Pemecatan jawatan di bawah seksyen 54
Feedback & supportMana-mana pegawai atau pengarah yang dipecat daripada jawatan dalam sesuatu institusi yang ditetapkan di bawah perenggan 54(2)(c) atau subperenggan 54(2)(d)(i) hendaklah terhenti memegang jawatan yang daripadanya dia dipecat mulai dari tarikh yang dinyatakan dalam perintah itu, dan tidak boleh memegang apa-apa jawatan lain dalam institusi yang ditetapkan itu atau, dengan apa-apa cara, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung, bersangkut-paut dengan, atau mengambil bahagian atau terlibat dalam, apa-apa aktiviti, hal ehwal atau perniagaan institusi yang ditetapkan itu atau berhubung dengan institusi yang ditetapkan itu.
Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lapan tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh lima juta ringgit atau kedua-duanya.
Pemecatan seseorang pegawai atau pengarah di bawah perenggan 54(2)(c) atau subperenggan 54(2)(d)(i) adalah menurut undang-undang dan sah walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana kontrak perkhidmatan atau kontrak atau perjanjian lain, sama ada nyata atau tersirat, sama ada secara individu atau kolektif, dan sama ada atau tidak dibuat atau diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis, dan seseorang yang dipecat daripada jawatan sedemikian tidak berhak untuk menuntut apa-apa pampasan kerana kehilangan atau penamatan jawatan itu.