Skip to content

Seksyen 13

Peruntukan mengenai pampasan

of Akta Kuarantin Tumbuhan 1976

ActIn forceProvision 13 of 25
Seksyen 13
(1)

Kecuali sebagaimana diperuntukkan oleh subseksyen (2), tiada seseorang pemunya atau penduduk tanah atau orang lain berhak mendapat pampasan bagi apa-apa perbelanjaan yang dilakukan atau kerosakan yang disebabkan oleh apa-apa perintah yang diberi atau perbuatan yang dilakukan menurut Akta ini melainkan jika kerosakan itu telah disebabkan oleh kecuaian yang sengaja.

(2)

Pengarah boleh, menurut budi bicaranya, memerintahkan supaya apa-apa pampasan yang difikirkannya patut dibayar kepada pemunya atau penduduk mana-mana tanah yang dikehendaki supaya memusnahkan, sebagai suatu langkah berjaga-jaga, apa-apa tumbuhan di atas tanah itu yang tidak berpenyakit.

(3)

Tiada sesuatu permohonan untuk mendapat pampasan boleh dilayani melainkan jika permohonan itu dibuat secara bertulis dan diterima di pejabat Pengarah dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis yang menghendaki tumbuhan itu dimusnahkan, dan walau bagaimanapun pampasan tidak boleh dibayar lebih daripada nilai yang sebenar bagi tumbuhan yang dimusnahkan itu pada tarikh notis itu.

(4)

Jika timbul sesuatu persoalan tentang nilai sesuatu tumbuhan, persoalan itu hendaklah dirujukkan kepada dan diputuskan oleh pegawai yang bertanggungjawab bagi memungut hasil tanah menurut mana-mana undang-undang bertulis mengenai tanah yang pada masa itu berkuat kuasa dalam kawasan komponen di mana tumbuhan itu terdapat dan keputusan pegawai itu terakhir dan muktamad.

(5)

Jika pada menjalankan dengan sempurna fungsinya mentadbirkan peruntukan Akta ini kerugian atau kerosakan berlaku pada tumbuh-tumbuhan, barang-barang, tanih atau organisma lain, kerajaan dan setiap orang yang diberi kuasa di bawah Akta ini hendaklah dikecualikan daripada segala tuntutan bagi pampasan bagi kerugian atau kerosakan itu.

Larangan pengimportan atau pemilikan tumbuh-tumbuhan berbahaya dan makhluk perosak