Skip to content
In forceAs enactedRead it in English

21. Seksyen baru 17a

Feedback & support

Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 17

seksyen yang berikut:

“Harta bersama terhad dan perbadanan pengurusan subsidiari adalah dibenarkan 17a.  (1)  Perbadanan pengurusan boleh menetapkan harta bersama terhad dan mewujudkan satu atau lebih perbadanan pengurusan subsidiari hanya bagi maksud mewakili kepentingan yang berbeza-beza bagi pemilik-pemilik petak melalui suatu resolusi komprehensif yang dijalankan di bawah Akta

Pengurusan Strata 2013.

(2)

Harta bersama terhad yang ditetapkan melalui resolusi komprehensif yang diluluskan oleh perbadanan pengurusan hendaklah—

(a)

memperihalkan, mengenal pasti atau menetapkan sempadan-sempadan atau kawasan harta bersama terhad itu di dalam suatu pelan khas;

(b)

menentukan setiap petak yang terkandung dalam pelan khas itu yang pemilik petak adalah berhak kepada faedah eksklusif harta bersama terhad itu; dan

(c)

mematuhi apa-apa butiran lain sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengarah Ukur.

Undang-Undang Malaysia 28

(3)

Perbadanan pengurusan hendaklah membuat permohonan dalam Borang 9 bagi kelulusan Pengarah untuk pengeluaran perakuan perbadanan pengurusan subsidiari bagi harta bersama terhad yang ditetapkan dan hendaklah disertai—

(a)

apa-apa fi sebagaimana yang ditetapkan;

(b)

satu salinan resolusi komprehensif bersama dengan perakuan yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya yang mengesahkan penerimaan salinan resolusi komprehensif itu yang difailkan kepadanya oleh perbadanan pengurusan; dan

(c)

suatu pelan khas yang disediakan di bawah subseksyen (2), dan apa-apa pindaan yang diluluskan padanya.

(4)

Setelah menerima permohonan itu, Pengarah hendaklah selepas itu merujukkan permohonan itu kepada Pengarah

Ukur dan Pengarah Ukur hendaklah sesudah itu menyemak pelan khas dan hendaklah—

(a)

menasihati Pengarah sama ada pelan-pelan itu teratur;

dan

(b)

memberitahu Pengarah akan amaun fi-fi yang hendak dipungut berkenaan dengan kerja-kerja yang telah dilakukan.

(5)

Pengarah hendaklah sesudah itu sekiranya dia berpuas hati bahawa permohonan itu dan dokumen-dokumen lain yang dikemukakan adalah teratur, menerima dan mengeluarkan satu perakuan yang memperakui bahawa perbadanan pengurusan subsidiari itu adalah suatu pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta ini pada hari yang dinyatakan dalam perakuan itu.

(6)

Perbadanan pengurusan subsidiari boleh membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya.”.

Hakmilik Strata (Pindaan)

Report