National Wages Consultative Council Act 2011 · Updated to 1 Aug 2015 · Bahagian IV · Penyiasatan dan Penguatkuasaan
32. Senarai buku akaun gaji, dsb., yang disita
Feedback & supportKecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (2), jika mana-mana buku akaun gaji, daftar, penyata kewangan atau dokumen lain disita di bawah Akta ini, pegawai penguat kuasa yang membuat penggeledahan itu—
hendaklah menyediakan—
suatu senarai buku akaun gaji, daftar, penyata kewangan atau dokumen lain yang disita itu dan hendaklah menandatangani senarai itu; dan
suatu notis bertulis tentang penyitaan itu yang mengandungi alasan bagi penyitaan itu dan hendaklah menandatangani notis itu; dan
hendaklah dengan secepat yang dapat dilaksanakan menyampaikan suatu salinan senarai buku akaun gaji, daftar, penyata kewangan atau dokumen lain yang disita dan notis bertulis tentang penyitaan itu kepada penghuni premis yang telah digeledah, atau kepada ejen atau pekhidmatnya di dalam premis itu.
Notis bertulis tentang penyitaan itu tidak dikehendaki untuk disampaikan di bawah perenggan (1)(b) jika penyitaan itu dibuat dengan kehadiran orang yang terhadapnya prosiding di bawah Akta ini diniatkan untuk diambil, atau dengan kehadiran pemunya harta sedemikian atau ejennya, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Jika premis itu tidak diduduki, pegawai penguat kuasa hendaklah menampalkan suatu salinan senarai buku akaun gaji, daftar, penyata kewangan atau dokumen lain yang disita itu di tempat yang mudah dilihat di premis itu.
Majlis Perundingan Gaji Negara 27