Seksyen 4
Seksyen 4
Walau apa pun diperuntukkan dalam Akta ini, Menteri boleh, dari semasa ke semasa, melalui pemberitahuan dalam Warta—
(a)
melarang sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada syarat-syarat pengilangan, pemilikan atau pengimportan sesuatu bahan letupan yang digunakan untuk mendatangkan bahaya atau kegusaran kepada awam atau yang mempunyai sifat yang amat merbahaya yang pada pendapat Menteri adalah bermanfaat bagi keselamatan awam untuk mengeluarkan pemberitahuan itu; dan
(b)
membatalkan atau mengubah apa-apa pemberitahuan yang dibuat di bawah seksyen ini.
(2)
Seseorang yang mengilang, memilik atau mengimport apa-apa bahan letupan melanggari dengan sesuatu pemberitahuan yang dikeluarkan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama lima tahun atau denda sebanyak sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
(3)
Jika mana-mana kereta, vesel atau pesawat udara digunakan bagi pengimportan sesuatu bahan letupan dengan melanggari sesuatu pemberitahuan di bawah seksyen ini atau bagi penerimaan atau penstoran sesuatu bahan letupan yang diimport dengan melanggari sesuatu pemberitahuan sedemikian—
(a)
pemunya, nakhoda atau kaptennya apabila disabitkan boleh dikenakan denda sebanyak sepuluh ribu ringgit, melainkan jika dibuktikan dengan memuaskan hati Mahkamah bahawa pemunya, nakhoda atau kapten tersebut tidak terlibat dalam menempatkan bahan letupan itu di dalam kereta, vesel atau pesawat udara itu dan kesalahan yang menjadi soal telah dilakukan tanpa pengetahuan, persetujuan atau dibiarkannya;
(b)
kereta, vesel atau pesawat udara itu boleh ditahan dengan perintah mahkamah hingga diberi sekuriti dengan sekian jumlah wang sebagaimana diperintahkan oleh mahkamah, tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit.
(4)
Terdapatnya apa-apa bahan letupan yang tertakluk kepada sesuatu larangan di bawah seksyen ini di dalam atau di atas mana-mana kereta, vesel atau pesawat udara adalah menjadi keterangan prima facie bahawa kereta, vesel atau pesawat udara itu telah digunakan bagi pengimportan bahan letupan itu berlawanan dengan Akta ini atau bagi penerimaan atau penstoran bahan letupan yang diimport berlawanan dengan Akta ini.
(5)
Bagi maksud seksyen ini ungkapan "nakhoda" termasuklah tiap-tiap orang, kecuali malim, yang menguasai atau menjaga sesuatu vesel.