Akta Kerajaan Tempatan 1976 · Updated to 1 Dec 2012 · Bahagian IX
77. Menutup dan meruntuhkan, dsb., tempat kediaman yang tidak bersih
Feedback & supportApabila Pegawai Kesihatan telah memperakui secara bertulis bahawa pada pendapatnya sesuatu bangunan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu bangunan atau apa-apa jua yang bercantum dengan sesuatu bangunan yang digunakan atau diduduki sebagai suatu tempat kediaman adalah tidak layak untuk kediaman manusia dan tidak boleh dijadikan layak untuk maksud itu tanpa dihapuskan, diubah atau diruntuhkan kesemua atau sebahagian daripada apa-apa penyekat, petak, para, galeri, emper, rumah-luar atau rangka bina atau binaan lain atau tanpa dijalankan apa-apa perubahan atau kerja-kerja rangka bina sebagaimana yang ditentukan olehnya, dia boleh dengan notis secara bertulis menghendaki pemunyanya melaksanakan semua atau mana-mana daripada perkara yang berikut:
menghapuskan, mengubah atau meruntuhkan kesemua atau sebahagian daripada penyekat atau binaan lain atau halangan yang berkenaan; dan
menjalankan apa-apa perubahan atau kerja rangka bina sebagaimana yang perlu untuk menjadikan premis itu layak untuk kediaman manusia dan untuk melindunginya daripada bahaya penyakit.
Notis itu hendaklah menyatakan tempoh kerja itu hendak disiapkan dan tempoh itu tidak boleh kurang dari tujuh hari.
Jika notis itu tidak dipatuhi, sesuatu Mahkamah Majistret boleh, atas permohonan pihak berkuasa tempatan itu, membuat suatu perintah mandatori menghendaki pemunya premis itu melaksanakan semua atau mana-mana daripada perkara yang dinyatakan dalam notis yang tersebut itu.
Seseorang yang menempatkan semula, tanpa keizinan nyata dengan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan itu, apa-apa penyekat, binaan atau halangan yang dihapuskan di bawah subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan
Kerajaan Tempatan 67
selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari kerja itu tidak dijalankan selepas sabitan dan pihak berkuasa tempatan itu boleh mengambil milik premis itu dan menghapuskan penyekat, binaan atau halangan itu.
Pihak berkuasa tempatan itu boleh, bagi maksud melaksanakan subseksyen (1), dengan notis yang ditampalkan di sesuatu tempat yang mudah dilihat pada bangunan itu, menghendaki pemunya atau penduduknya, mengikut mana-mana yang berkenaan, berhenti menduduki bangunan itu dan mengeluarkan segala barang, perabot dan harta benda dari bangunan itu dalam tempoh empat puluh lapan jam dari penampalan notis itu atau dalam apa-apa tempoh lanjutan sebagaimana yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan itu.
Pemunya dan tiap-tiap penyewa yang menduduki bangunan itu hendaklah dengan itu mematuhi kehendak notis itu.
Mana-mana pemunya atau penduduk yang tidak mematuhi kehendak notis itu melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh dia tidak mematuhi kehendak notis itu.
Walau apa pun peruntukan subseksyen (7), apabila tamat tempoh empat puluh lapan jam dari penampalan notis itu atau tempoh lanjutan di bawah subseksyen (5) itu, pihak berkuasa tempatan itu boleh mengeluarkan semua barang, perabot dan harta-benda dari bangunan itu.