Seksyen 26
Liabiliti pengarah, dsb.,
of Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992
(1)
Jika sesuatu kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan oleh suatu kumpulan orang yang diperbadankan atau tidak diperbadankan, maka mana-mana orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan ialah seorang pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain yang seumpamanya, bagi kumpulan orang itu, atau yang berupa sebagai bertindak atas sifat sedemikian, hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuannya atau tanpa pembiarannya, dan bahawa dia telah menjalankan usaha untuk mencegah berlakunya kesalahan itu sebagaimana yang sepatutnya telah dijalankan olehnya memandangkan jenis fungsi atas sifat itu dan memandangkan semua hal keadaan.
(2)
Mana-mana orang yang tetap bersalah melakukan suatu kesalahan jika apa-apa jua telah dilakukan atau ditinggalkan olehnya sendiri adalah bersalah melakukan kesalahan itu dan boleh dikenakan penalti yang sama jika perkara itu telah dilakukan atau ditinggalkan oleh pekongsi, ejen, atau pekhidmatnya dalam perjalanan urusan perkongsian itu atau dalam perjalanan pekerjaannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuannya atau persetujuannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk mencegah perlakuan atau peninggalan perkara itu:
Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh melepaskan pekongsi, ejen atau pekhidmat itu daripada dikenakan pendakwaan.