Seksyen 28
Pengkompaunan kesalahan
of Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992
(1)
Dato Bandar boleh, dengan keizinan bertulis Pendakwa
Raya, mengkompaunkan apa-apa kesalahan yang dilakukan terhadap
Akta ini dan mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya yang ditetapkan sebagai kesalahan yang boleh dikompaunkan dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang semunasabahnya disyaki telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaunkan kesalahan itu dengan membayar kepada Dato Bandar sejumlah wang yang tidak melebihi jumlah maksimum denda yang dengannya kesalahan itu boleh dihukum dalam tempoh yang ditetapkan dalam tawaran itu.
(2)
Apabila bayaran di bawah subseksyen (1) diterima, tiada prosiding selanjutnya boleh diambil terhadap orang itu berkenaan dengan kesalahan itu dan apa-apa jua yang disita berkaitan dengan kesalahan itu hendaklah dilepaskan, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang dikenakan.
(3)
Apa-apa wang yang di bayar kepada Dato Bandar menurut peruntukan-peruntukan seksyen ini hendaklah dibayar masuk ke dalam dan menjadi sebahagian daripada wang kumpulan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan kerajaan tempatan.