Skip to content

Seksyen 64

Kuasa menyita kenderaan motor

of Akta Pengangkutan Jalan 1987

ActIn forceProvision 83 of 176
Seksyen 64
(1)

Apabila mana-mana orang didapati atau dengan semunasabahnya dipercayai menggunakan sesuatu kenderaan motor dengan melanggar Akta ini atau apa-apa perintah atau larangan yang dibuat di bawahnya, atau dengan melanggar terma lesen bagi kenderaan motor itu, mana-mana pegawai polis atau pegawai pengangkutan jalan yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah, atau Dato Bandar boleh, pada bila-bila masa didapati bahawa kenderaan motor itu atau pemandunya tidak dapat dikenal pasti dengan secukupnya atau bahawa tindakan itu perlu untuk mengelakkan berlakunya lagi kesalahan itu, membawa atau menyebabkan dibawa atau menghendaki orang yang menjaga suatu kenderaan motor membawa kenderaan motor itu ke suatu tempat yang selamat, dan disimpan di situ sehingga dilepaskan dengan perintah

Majistret, Ketua Pegawai Polis, Pengarah, Timbalan Pengarah yang diberi kuasa secara bertulis bagi maksud itu oleh Ketua Pengarah, atau

Dato Bandar, dengan syarat dan tertakluk kepada subseksyen (3), kenderaan motor itu tidak boleh ditahan lebih lama dari yang diperlukan bagi memastikan identiti pemandu itu atau bagi menjamin tidak berlakunya lagi kesalahan itu, dan jika mana-mana orang enggan atau cuai mematuhi mana-mana kehendak itu, dia melakukan suatu kesalahan.

(2)

Mana-mana orang yang tidak diberi kuasa yang mengalih atau yang menyebabkan dialih kenderaan motor itu daripada tempat yang selamat melakukan suatu kesalahan.

(3)

Mana-mana kenderaan yang telah dialih menurut subseksyen (1), boleh ditahan di suatu tempat yang sesuai dan ditinggal di situ atas risiko pemunyanya sehingga apa-apa fi sebagaimana yang ditetapkan di bawah

Akta ini bagi pengalihan dan penahanannya dibayar.

110 Undang-Undang Malaysia AKTA 333

(4)

Apabila mana-mana kenderaan motor ditahan di bawah seksyen ini, pegawai polis atau pegawai pengangkutan jalan yang menahan kenderaan itu hendaklah dengan seberapa segera yang semunasabahnya praktik, memberikan notis secara bertulis mengenai penahanan itu kepada pemunya kenderaan motor itu jika nama dan alamat pemunya itu diketahui olehnya dan jika dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penahanannya kenderaan motor itu tidak dituntut oleh pemunyanya, pegawai itu hendaklah merujukkan perkara itu kepada Majistret, yang hendaklah membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut berkenaan dengan pelucuthakan atau pelupusan kenderaan motor itu serta muatannya (jika ada).

(5)

Jika sesuatu kenderaan motor yang ditahan mempunyai muatan mudah musnah dan penyimpanan muatan itu sementara menunggu pemberesan muktamad pelucuthakan atau perintah pelupusan di bawah subseksyen (4) melibatkan perbelanjaan dan kesulitan yang tidak munasabah, Pengarah boleh mengarahkan supaya muatan itu dijual atau dilupuskan pada bila-bila masa dan hasil jualan itu boleh dipegang untuk mematuhi keputusan apa-apa pendakwaan atau tuntutan di bawah seksyen ini.