Skip to content

Seksyen 28

Penjualan dan pelupusan bahan api yang disita

of Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007

ActIn forceProvision 28 of 56
Seksyen 28
(1)

Pegawai penguat kuasa boleh pada bila-bila masa mengarahkan supaya apa-apa bahan api yang disita di bawah Akta ini dijual dan hasil penjualan itu dipegang sementara menanti keputusan apa-apa pendakwaan di bawah Akta ini jika—

(a)

bahan api itu mutunya mudah merosot;

(b)

penjagaan bahan api itu melibatkan perbelanjaan dan kesusahan yang tidak munasabah;

(c)

terdapat kekurangan atau ketiadaan kemudahan yang mencukupi atau sesuai untuk menyimpan bahan api itu; atau

(d)

bahan api itu dipercayai menyebabkan halangan atau bahaya kepada orang awam.

(2)

Walau apa pun subseksyen (1), jika juruanalisis yang dilantik di bawah seksyen 38 memperakui, atau jika keputusan ujian sebagaimana yang diperakui oleh juruanalisis membuktikan, bahawa bahan api yang diuji olehnya tercemar, pegawai penguat kuasa itu boleh menyimpannya dalam penjagaan atau, jika tiada pendakwaan dimulakan berkenaan dengan bahan api itu, menyebabkan supaya bahan api itu dilupuskan mengikut cara yang ditentukan oleh pegawai penguat kuasa.