Skip to content

Seksyen 25A

Perintah untuk pembayaran interim

of Akta Mahkamah Kehakiman 1964

ActIn forceProvision 28 of 99
Seksyen 25A
(1)

Tentang prosiding yang belum selesai di Mahkamah Tinggi, peruntukan boleh dibuat melalui kaedah-kaedah mahkamah bagi membolehkan Mahkamah dalam apa-apa hal keadaan yang ditetapkan, membuat suatu perintah yang menghendaki sesuatu pihak kepada prosiding membuat pembayaran interim sebanyak apa-apa amaun yang dinyatakan dalam perintah itu, dengan peruntukan bagi pembayaran itu dibuat kepada mana-mana pihak yang satu lagi kepada prosiding itu sebagaimana yang ditentukan sedemikian atau, jika perintah itu memperuntukkan sedemikian, membayar amaun itu ke dalam Mahkamah.

(2)

Apa-apa kaedah mahkamah yang membuat peruntukan mengikut subseksyen (1) boleh memasukkan peruntukan bagi membolehkan sesuatu pihak kepada apa-apa prosiding yang, menurut sesuatu perintah itu telah membuat pembayaran interim, untuk mendapatkan keseluruhan atau sebahagian daripada amaun bayaran dalam apa-apa hal keadaan dan daripada mana-mana pihak yang satu lagi kepada prosiding itu sebagaimana yang ditentukan mengikut kaedah-kaedah itu.

(3)

Apa-apa kaedah yang dibuat menurut kuasa seksyen ini boleh memasukkan peruntukan sampingan, tambahan dan berbangkit yang didapati perlu atau suai manfaat.

(4)

Tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh ditafsirkan sebagai menyentuh penjalanan apa-apa kuasa yang berhubungan dengan kos, termasuklah apa-apa kuasa untuk membuat kaedah-kaedah mahkamah yang berhubungan dengan kos.

(5)

Dalam seksyen ini "pembayaran interim", berhubung dengan sesuatu pihak kepada apa-apa prosiding, ertinya sesuatu pembayaran disebabkan oleh apa-apa ganti rugi, hutang atau apa-apa jumlah wang lain tidak termasuk apa-apa kos yang pihak itu boleh bertanggungan untuk membayar kepada atau bagi faedah pihak lain kepada prosiding itu jika sesuatu penghakiman atau perintah muktamad Mahkamah dalam prosiding itu diberikan atau dibuat dengan memihak pihak yang satu lagi itu.

Bidang Kuasa Rayuan