Seksyen 97
Kebenaran untuk merayu
of Akta Mahkamah Kehakiman 1964
Sesuatu permohonan di bawah seksyen 96 bagi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Persekutuan dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan yang dirayukan itu diberikan, atau dalam apa-apa tempoh lanjut sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.
(2)
Jika penghakiman yang dirayukan itu menghendaki perayu membayar wang atau melaksanakan sesuatu kewajipan, Mahkamah Persekutuan hendaklah mempunyai kuasa, apabila memberi kebenaran untuk merayu, sama ada untuk mengarahkan supaya penghakiman itu dilaksanakan atau supaya pelaksanaannya digantung sementara menunggu rayuan itu, sebagaimana yang nampak adil pada Mahkamah; dan sekiranya Mahkamah mengarahkan supaya penghakiman itu dilaksanakan, orang yang kepadanya penghakiman itu memihak hendaklah, sebelum pelaksanaannya, memberikan jaminan yang baik dan mencukupi sehingga memuaskan hati Mahkamah itu bagi pelaksanaan yang wajar apa-apa perintah yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan untuk memberikan kuat kuasa kepadanya.
(3)
Walau apa pun seksyen 74, sesuatu permohonan bagi kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan boleh didengar oleh seorang Hakim Mahkamah itu, dan apa-apa arahan atau perintah yang boleh diberikan atau dibuat oleh Mahkamah atas permohonan itu boleh diberikan atau dibuat oleh Hakim itu.
(4)
Apa-apa arahan atau perintah yang diberikan atau dibuat di bawah subseksyen (3) boleh, apabila permohonan dibuat oleh pihak yang terkilan dalam tempoh sepuluh hari selepas arahan atau perintah itu diberikan atau dibuat, disahkan, diubah atau dilepaskan oleh Mahkamah itu.