syarahan, ucapan dan khutbah, tetapi tidak termasuk teks rasmi dari jenis perundangan, pentadbiran dan undang-undang atau terjemahan rasmi teks itu;
"manuskrip" berkenaan dengan sesuatu karya, ertinya suratan asal mengandungi karya itu, sama ada ditulis dengan tangan atau tidak;
"Menteri" ertinya Menteri yang bertanggungjawab bagi perdagangan dan perindustrian;
"karya muzik" ertinya mana-mana karya muzik, dengan tidak mengira mutu muzik, dan termasuklah karya yang digubah untuk disertai dengan muzik;
"gambarfoto" ertinya apa-apa keluaran gambarfoto atau dari apa-apa proses yang seakan-akan sama dengan gambarfoto (kecuali sebahagian filem wayang gambar);
"ditetapkan" ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
"siaran ulangan" ertinya siaran serentak atau siaran kemudian oleh satu perkhidmatan penyiaran akan siaran suatu perkhidmatan penyiaran lain, sama ada terletak dalam Malaysia atau di luar negeri, dan termasuklah penyibaran siaran itu melalui wayar, dan "penyiaran ulangan" hendaklah diertikan sewajarnya;
“keluaran ulangan” ertinya pembuatan satu salinan atau lebih dan termasuklah, mengenai sesuatu karya seni, naskah yang dikeluarkan dengan menukar karya itu kepada suatu bentuk tiga-dimensa atau, jika karya itu dalam bentuk tiga dimensa, dengan menukarkannya kepada bentuk dua-dimensa, dan rujukan mengenai “mengeluar-ulang” sesuatu karya hendaklah diertikan sewajarnya;
"rakaman bunyi" ertinya penetapan pertama sesuatu siri bunyi yang boleh didengar secara langsung dan dikeluar-ulang, tetapi tidak termasuk sesuatu alur-bunyi berkaitan dengan filem wayang gambar;
"karya" termasuklah terjemahan, penyesuaian, naskah baru atau susunan karya yang wujud, dan antoloji atau kumpulan karya yang, oleh kerana pemilihan dan penyusunan tentang isinya, merupakan suatu watak asal;
"karya penciptaan bersama" ertinya karya yang dikeluarkan dengan kerjasama dua orang pencipta atau lebih, dalam mana sumbangan tiap-tiap seorang pencipta itu tidak terpisah daripada sumbangan pencipta atau pencipta-pencipta yang lain itu.